KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH) telah menerima surat tawaran daripada Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk cadangan penjualan dan pembangunan dua bidang tanah dengan nilai gabungan RM197.90 juta di Petaling, Selangor.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju itu berkata surat tersebut diterima berikutan permohonan cadangan berhubung potensi pembangunan tanah itu.
Petak tanah yang dicadangkan, yang berkeluasan kira-kira 7.04 hektar, akan tertakluk kepada terma dan syarat tertentu. Butiran ini akan digariskan dalam perjanjian rasmi yang akan ditandatangani dalam tempoh 30 hari selepas menerima surat tawaran.
LSH Capital berkata bahawa sebahagian daripada terma dan syarat ini termasuk mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM), serta kelulusan daripada Kementerian Ekonomi dan badan kerajaan atau berkanun lain yang berkaitan di peringkat majlis tempatan.
“Terma dan syarat muktamad akan terkandung dalam perjanjian yang akan dilaksanakan antara pihak-pihak berkenaan.
“Pengumuman lanjut termasuk butiran mengenai cadangan pembangunan, akan dibuat kepada Bursa Malaysia dalam masa terdekat, sebaik sahaja perjanjian ditandatangani atau apabila terdapat kemas kini penting mengenai cadangan pembangunan itu,” katanya lagi.
-- BERNAMA