GEORGE TOWN, 15 Mei (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap kerajaan mempertimbangkan pengembalian semula nikotin ke dalam Akta Racun 1952 susulan keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan penyahsenaraian nikotin cecair dan gel daripada Senarai Racun pada 2023.
Pegawai Pendidikan Kanan dan Aktivis Anti Merokok CAP NV Subbarow berkata keputusan mahkamah itu adalah kemenangan besar kepada kesihatan awam khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan golongan belia daripada bahaya ketagihan nikotin.
"Kerajaan perlu memulihkan semula peruntukan yang telah dikeluarkan daripada Generasi Penamat (GEG) dalam rang undang-undang berkaitan kawalan produk merokok dan vape.
"Penemuan mahkamah bahawa keputusan itu tidak rasional dan dibuat tanpa perundingan yang sewajarnya dengan Lembaga Racun amat dikesali," menurutnya dalam kenyataan malam ini.
CAP juga ingin mengetahui pendirian semasa Kementerian Kesihatan berhubung keputusan mahkamah itu dan langkah lanjut yang akan diambil oleh kerajaan.
-- BERNAMA