DUNIA

Gencatan Senjata Israel-Lubnan Dilanjut 45 Hari Selepas Rundingan Di Washington

16/05/2026 10:29 AM

WASHINGTON / ISTANBUL / BEIRUT, 16 Mei (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Lubnan akan dilanjutkan selama 45 hari susulan rundingan antara kedua-dua pihak yang disifatkan Washington sebagai “amat produktif”, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Penghentian permusuhan pada 16 April akan dilanjutkan selama 45 hari bagi membolehkan kemajuan lanjut dicapai,” kata jurucakap Jabatan Negara Tommy Pigott menerusi X.

Pengumuman itu dibuat meskipun serangan Israel di Lubnan berterusan sejak gencatan senjata yang dimudah cara AS berkuat kuasa.

Pigott berkata Jabatan Negara akan menyambung semula landasan rundingan politik pada 2 hingga 3 Jun.

Beliau turut mengumumkan satu “landasan keselamatan” berasingan melibatkan delegasi tentera kedua-dua negara akan dilancarkan di Pentagon pada 29 Mei.

“Kami berharap perbincangan ini akan memajukan keamanan berkekalan antara kedua-dua negara, pengiktirafan penuh terhadap kedaulatan dan integriti wilayah masing-masing, serta mewujudkan keselamatan sebenar di sepanjang sempadan bersama mereka,” kata Pigott.

Pengumuman itu susulan pusingan ketiga rundingan yang dimudah cara AS di Jabatan Negara.

Seorang jurucakap jabatan itu menyifatkan perbincangan berkenaan kepada Anadolu sebagai “sangat positif, malah melepasi jangkaan.”

Menurut seorang pegawai jabatan, AS diwakili oleh Kaunselor Jabatan Negara Michael Needham, Duta AS ke Israel Mike Huckabee dan Duta AS ke Lubnan Michel Issa.

Lubnan pula diwakili Duta Nada Hamadeh Moawad dan utusan Presiden Lubnan Simon Karam, kata pegawai itu.

Menurut kenyataan yang diperoleh Anadolu, delegasi Lubnan di Washington berkata ia menamatkan rundingan dua hari di Jabatan Negara AS di Washington yang menghasilkan “kemajuan diplomatik yang nyata” untuk Lubnan.

Kenyataan itu menyebut “pihak-pihak bersetuju melanjutkan gencatan senjata semasa selama 45 hari lagi bagi membolehkan pelancaran landasan keselamatan tajaan AS pada 29 Mei dan memperkukuh momentum politik yang dicapai dalam beberapa hari kebelakangan ini.”

Delegasi itu berkata landasan politik rasmi telah dilancarkan, mencerminkan penglibatan konstruktif Lubnan dan meningkatkan prospek untuk mencapai penyelesaian damai yang berkekalan.

Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada 2 hingga 3 Jun di Jabatan Negara AS di Washington.

Delegasi itu turut berkata AS “akan secara proaktif berusaha memperkukuh komunikasi dan penyelarasan ketenteraan antara Lubnan dan Israel melalui landasan keselamatan yang dijadual bermula pada 29 Mei di Pentagon, Washington.”

Delegasi berkenaan menegaskan Lubnan akan terus mengambil bahagian secara konstruktif dalam rundingan itu, sambil memelihara kedaulatan negara dan melindungi keselamatan rakyatnya.

Matlamat rundingan itu adalah untuk “mengubah momentum gencatan senjata semasa kepada satu perjanjian menyeluruh dan berkekalan yang memelihara maruah, keselamatan serta masa depan rakyat Lubnan.”

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2557710