IPOH, 16 Mei (Bernama) -- Sepasang suami isteri maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori satu tan membawa muatan ayam beku di Parit Sembilan, Labu Kubong, di Teluk Intan awal pagi tadi.
Dalam kejadian di simpang tiga menghala ke Kampung Gajah itu, mangsa lelaki berusia 32 tahun dan isterinya berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dalam kenderaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.55 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan tiba di lokasi pada 6.11 pagi.
“Dua mangsa yang menaiki kereta, iaitu pasangan suami isteri warga tempatan didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata dua lelaki yang menaiki lori berkenaan, termasuk pemandu dan kelindan hanya mengalami kecederaan ringan.
"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, operasi tamat sepenuhnya pada 8.18 pagi," katanya.
-- BERNAMA