JENAYAH & MAHKAMAH

Pegawai Polis Berpangkat ASP Ditahan Kes Pemerasan RM5,000

17/05/2026 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) ditahan Khamis lepas kerana disyaki terlibat dalam kes pemerasan membabitkan wang tunai RM5,000 dalam kejadian di sebuah restoran di Bukit Bintang, di sini pada 14 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata siasatan dijalankan selepas seorang lelaki tempatan membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan suspek yang dipercayai menggari rakan sekerjanya serta mengugut meminta wang.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi di Jalan Angsoka, rakan sekerja pengadu didakwa ditahan oleh suspek atas alasan majikan mereka menjadi buruan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket penipuan di Kemboja dan China.

“Pengadu yang hadir di lokasi kejadian mendapati rakannya telah digari hampir sejam sebelum dibebaskan dan mendakwa dipaksa menyerahkan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada pegawai terbabit di restoran berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sazalee berkata suspek kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2558184