KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Langkah Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad mengambil alih Parti Bersama Malaysia dilihat lebih menjurus kepada penyusunan semula pengaruh politik, berbanding menawarkan agenda pentadbiran baharu bagi menangani cabaran semasa negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban Dr Mazlan Che Soh berkata langkah itu menimbulkan persoalan sama ada platform politik baharu itu benar-benar menawarkan kestabilan dan keupayaan pentadbiran menjadi lebih baik berbanding apa yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
Beliau berkata dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu akibat konflik geopolitik, perang perdagangan dan tekanan kos sara hidup, rakyat kini lebih menumpukan kepada soal kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan serta keupayaan kerajaan mentadbir negara secara berkesan.
“Di sinilah wujud perbezaan pendekatan yang semakin jelas antara Rafizi dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ketika Rafizi dilihat memberi tumpuan kepada pembentukan platform politik baharu, Kerajaan MADANI pula sedang menumpukan usaha memperkukuh ekonomi, memperbaiki kedudukan fiskal negara dan memastikan keyakinan pelabur terus kekal dalam keadaan ekonomi global yang masih mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan data rasmi kerajaan dan beberapa indikator antarabangsa, Mazlan berkata ekonomi Malaysia menunjukkan perkembangan yang semakin stabil sejak dua tahun kebelakangan ini, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 5.1 peratus pada 2024, diikuti 5.2 peratus pada 2025 dan 5.4 peratus bagi suku pertama 2026, mengatasi unjuran awal 4.8 peratus.
Selain itu, pelaburan diluluskan pula meningkat secara konsisten daripada RM264.6 bilion pada 2022 kepada RM426.7 bilion pada 2025, selain Malaysia turut mencatat lebihan dagangan selama 71 bulan berturut-turut.
Mazlan berkata pengukuhan nilai ringgit sehingga sekitar RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat serta peningkatan kedudukan daya saing dunia dalam ranking Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) di tangga ke-23 turut memberi gambaran bahawa keyakinan terhadap ekonomi Malaysia semakin pulih.
“Kadar pengangguran yang menurun kepada 2.9 peratus, terendah sejak 2015 turut memperlihatkan bahawa pemulihan ekonomi bukan sekadar bersifat statistik tetapi mula diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi sebenar,” katanya.
Mazlan berkata pelbagai manfaat ekonomi mula dirasai rakyat melalui peningkatan gaji minimum kepada RM1,700, kenaikan bantuan tunai rakyat sehingga RM4,600, peningkatan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB), kenaikan harga lantai padi serta pelbagai bentuk bantuan dan subsidi bersasar.
Beliau berkata kerajaan juga meneruskan pelaksanaan projek pembangunan strategik seperti Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), Lebuhraya Pan Borneo, projek tebatan banjir, pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai projek lain yang mempunyai kesan limpahan ekonomi jangka panjang kepada rakyat serta negara.
Dalam menghadapi cabaran ekonomi global pula, beliau berkata kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej jaminan dan pembiayaan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana, termasuk jaminan pinjaman, kemudahan kredit mikro dan insentif kewangan bersasar.
“Fokus utama pentadbiran ketika ini jelas tertumpu kepada usaha memastikan ekonomi negara kekal stabil dan rakyat tidak terlalu terbeban dengan ketidaktentuan global,” katanya.
Beliau berkata sepanjang menerajui portfolio ekonomi sebelum ini, Rafizi lebih menonjol dari sudut penghasilan naratif reformasi dan pendekatan teknokratik berbanding rekod pelaksanaan yang benar-benar memberi kesan langsung kepada rakyat.
Mazlan, yang mengakui Rafizi sememangnya dikenali sebagai tokoh politik yang mempunyai kemampuan komunikasi yang baik serta mahir menghuraikan data, formula dan simulasi ekonomi secara terperinci berkata dalam politik pentadbiran moden, legitimasi kepimpinan akhirnya tidak hanya diukur melalui kekuatan retorik atau kecanggihan formula dasar semata-mata.
Menurut Mazlan, sebahagian reformasi ekonomi yang diketengahkan Rafizi sebelum ini juga berdepan cabaran penerimaan awam kerana kerumitannya dari sudut pelaksanaan dan komunikasi dasar, khususnya melibatkan isu subsidi bersasar serta integrasi pangkalan data ekonomi rakyat.
“Dalam beberapa keadaan, rakyat melihat pelbagai cadangan yang diumumkan masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada hasil yang benar-benar jelas di peringkat pelaksanaan.
“Keadaan ini menyebabkan Rafizi lebih dikenali sebagai tokoh strategi politik dan naratif reformasi berbanding pemimpin pelaksana yang mempunyai rekod pentadbiran besar di lapangan,” katanya, sambil menambah sebahagian besar rakyat juga dilihat semakin pragmatik dalam membuat penilaian politik.
Menurut Mazlan, sentimen umum hari ini tidak lagi terlalu tertumpu kepada slogan perubahan semata-mata tetapi lebih kepada kemampuan sesebuah kerajaan memastikan kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan dan kos sara hidup dapat diurus secara berkesan.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu akibat konflik geopolitik dan tekanan rantaian bekalan global, beliau berkata majoriti rakyat lebih mengutamakan kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran berbanding eksperimen politik baharu yang belum terbukti keberkesanannya.
“Atas sebab itu, langkah Rafizi membuka platform politik baharu ketika kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek strategik, pengukuhan fiskal negara dan pemulihan keyakinan pelabur dilihat sukar meyakinkan rakyat bahawa gerakan itu benar-benar mampu menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada negara,” katanya.
Mazlan berkata politik boleh membina persepsi tetapi pentadbiran yang berkesan akhirnya menjadi penentu utama keyakinan rakyat terhadap masa depan negara.
-- BERNAMA