GAYA HIDUP

Pameran Media Campuran Imbau Evolusi Seni Kontemporari Di Malaysia

19/05/2026 10:45 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Di tengah-tengah pembangunan pesat dan perubahan gaya hidup di Malaysia dalam tempoh 1980-an hingga 2010-an, seni media campuran muncul sebagai antara pendekatan utama yang membentuk gerakan seni kontemporari negara.

Melalui gabungan bahan seperti logam, kayu, fotografi, cetakan, objek harian dan bahan kitar semula, karya seni dari era itu bukan sahaja menampilkan eksperimen visual, tetapi turut mencerminkan perubahan sosial, budaya dan identiti yang dialami rakyat Malaysia dalam era urbanisasi dan pemodenan.

Pameran “Mixed Media from the Golden Period of Malaysian Contemporary Art” yang berlangsung hingga 31 Mei ini di  Yap Ah Shak House di sini, memberi peluang kepada orang ramai menelusuri evolusi seni media campuran menerusi 32 karya 20 artis Malaysia daripada Koleksi Aliya & Farouk Khan (AFK).

pic-2

Kurator pameran Zena Khan berkata seni media campuran menjadi antara pemacu utama seni kontemporari Malaysia ketika gerakan itu mula berkembang pada 1980-an dan bertambah pesat pada 1990-an hingga awal abad ke-21.

“Media campuran juga membuka jalan kepada seni konseptual dan seni instalasi yang kemudiannya menjadi sangat penting dalam landskap seni tempatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Zena, karya-karya yang dipamerkan memperlihatkan bagaimana artis Malaysia menggunakan media campuran untuk merakam perubahan yang berlaku dalam masyarakat ketika tempoh pertumbuhan bandar yang pesat, perkembangan media dan perubahan gaya hidup.

pic-3

“Bagi saya, seni dari era itu sangat luar biasa kerana, tanpa terlalu banyak penjelasan, kita dapat merasai perubahan yang sedang dilalui masyarakat Malaysia ketika itu.

“Urbanisasi, pembangunan Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan lebuh raya serta perubahan gaya hidup seolah-olah dirakam dalam karya-karya ini,” katanya.

Artis-artis yang terlibat dalam pameran itu termasuk  Ahmad Shukri, Fauzan Omar, Ahmad Fuad Osman, Zulkifli Yusoff, Hasnul J. Saidon, Rajinder Singh, Shooshie Sulaiman, Choy Chun Wei, Justin Lim, Umibaizurah Mahir Ismail, Abdullah Jones dan Tan Chin Kuan.

pic-4

Zena turut menyifatkan Ahmad Shukri sebagai antara tokoh penting seni media campuran Malaysia, manakala Fauzan Omar pula antara perintis yang memperkenalkan pendekatan itu dalam gerakan seni kontemporari tempatan selepas menuntut di luar negara.

Beliau berkata antara cabaran utama karya media campuran dan seni instalasi ialah aspek penyimpanan kerana banyak karya bersaiz besar serta dihasilkan menggunakan bahan yang sukar dipelihara.

“Pada peringkat awal gerakan seni kontemporari Malaysia, ada artis yang terpaksa memusnahkan karya penting kerana tidak ada ruang simpanan dan tidak mampu menanggung kos pemeliharaan, menyebabkan sesetengah karya hanya tersimpan dalam bentuk dokumentasi dan gambar arkib,” katanya.

pic-5

Pameran itu juga menyusuli kejayaan pameran Koleksi AFK bertajuk “To Know Malaysia is To Love Malaysia: Highlights from the AFK Collection” di Cultural Foundation di Abu Dhabi sebelum ini, yang membantu membawa seni kontemporari Malaysia ke pentas antarabangsa.

Kata Zena, pameran di Abu Dhabi itu menarik perhatian kurator dan wakil institusi antarabangsa termasuk Louvre dan Guggenheim yang kagum dengan kedalaman intelektual, unsur humor dan kerumitan budaya yang terdapat dalam karya seni Malaysia.

“Kami membawa karya seni Malaysia ke Abu Dhabi dan ramai kurator serta penggiat seni antarabangsa terkejut dengan teknik dan pendekatan yang digunakan oleh artis Malaysia.

“Mereka tahu tentang Malaysia, tetapi belum pernah melihat negara ini menerusi lensa seni kontemporari dalam cara sebegini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2558829