EKONOMI

Eksport Industri Perkayuan Sarawak Menurun 10 Peratus - Awang Tengah

20/05/2026 01:57 PM

KUCHING, 20 Mei (Bernama) -- Nilai eksport industri perkayuan Sarawak pada suku pertama tahun ini menurun sebanyak 10 peratus kepada RM564 juta berbanding RM624 juta dalam tempoh sama tahun lepas, dipengaruhi oleh penyusutan permintaan pasaran global.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata penurunan itu turut menjejaskan prestasi keseluruhan eksport industri perkayuan negeri.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak berkata Jepun kekal sebagai pengimport utama dengan nilai RM298 juta, diikuti India (RM106 juta), Timur Tengah (RM70 juta) dan Filipina (RM23 juta).

“Antara produk yang dieksport termasuk papan lapis, balak, papan gentian (fibreboard), kayu gergaji, kayu racik (woodchip), kayu pelet dan lain-lain produk," katanya ketika menggulung perbahasan kementerian bagi usul penghargaan atas ucapan Yang Dipertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Awang Tengah berkata eksport kayu pelet sebagai produk bernilai tambah pula mencatat peningkatan sebanyak 3.3 peratus berjumlah RM21.4 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM20.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Kalangan pemain industri turut digalakkan untuk lebih proaktif dengan menumpukan keupayaan kepada penghasilan produk kayu bernilai tambah seperti kayu kejuruteraan (engineered wood), perabot, biochar, biojisim dan lain-lain.

“Kerajaan Sarawak telah meluluskan tapak seluas 50 hektar untuk pembangunan Taman Industri Perabot di Demak Laut, Kuching dengan skim projek bernilai RM233 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13. Projek ini sedang dalam peringkat penyediaan pelan pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Awang Tengah berkata industri buluh juga berpotensi besar untuk diterokai oleh komuniti tempatan, dengan nilai pasaran produk buluh adalah dijangka mencecah US$118 bilion menjelang tahun 2034, menurut Bamboo Global Market Report 2025.

Setakat ini, kawasan penanaman buluh di Sarawak melibatkan keluasan 5,109 hektar oleh komuniti dan entiti komersial.

“Bagi menyokong program penanaman tersebut, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) turut membangunkan tiga tapak semaian di Sabal, Tanjung Manis dan Kuala Baram yang berupaya mengeluarkan sebanyak 450,000 anak benih buluh setahun,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2559382