EKONOMI

MAG Jangka Harga Bahan Api Pesawat Berada Pada US$120-US$130 Setong Dalam Tempoh Setahun Akan Datang

20/05/2026 10:11 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG) menjangka harga bahan api pesawat akan berada antara US$120 dan US$130 setong dalam tempoh setahun akan datang berdasarkan petunjuk semasa daripada pasaran hadapan apabila syarikat penerbangan terus berdepan ketegangan geopolitik dan gangguan bekalan bahan api yang menjejaskan industri penerbangan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata harga bahan api berada pada kira-kira US$100 setong sebelum ketegangan geopolitik mendorong harga setinggi US$240 setong, menunjukkan syarikat penerbangan di seluruh dunia menghadapi ketidaktentuan yang berterusan. 

“Berdasarkan graf, kami percaya dalam tempoh satu tahun akan datang, harga akan berada antara US$120 dan US$130 setong,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasminya ke Wisma Bernama hari ini susulan pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAG pada 1 Feb 2026.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Harlina Samson dan Penolong Editor PBE Kisho Kumari Sucedaram.

Nasaruddin berkata ketegangan geopolitik yang melibatkan Iran telah menjejaskan sektor penerbangan bukan sahaja melalui kos bahan api, malah kebimbangan mengenai bekalan bahan api, mewujudkan cabaran operasi untuk syarikat penerbangan di seluruh dunia.

“Sebagai syarikat penerbangan yang menggunakan bahan api, dari segi kos dan bekalan, ia memberi impak kepada syarikat penerbangan Malaysia,” katanya, sambil menambah MAG terus melaksanakan langkah-langkah mitigasi untuk mengurus cabaran tersebut dan mengekalkan pelan perniagaan jangka panjangnya.

Beliau berkata pada masa ini, bahan api menyumbang kira-kira 30 peratus daripada struktur kos keseluruhan MAG, dengan harga bahan api yang lebih tinggi menyumbang kepada tambahan 20 peratus kepada kos operasi syarikat penerbangan.

“Oleh itu, semua inisiatif yang telah diambil adalah untuk memastikan bahawa kami dapat mengurangkan impak kos bahan api.

“Bagaimanapun, kami tidak memindahkan (kos) kepada penumpang pada masa ini dan kami berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kos bahan api,” katanya.

Selain tekanan kos, Nasaruddin berkata perubahan dinamik penerbangan global turut mewujudkan peluang kepada syarikat penerbangan Asia Tenggara berikutan perubahan corak perjalanan disebabkan gangguan yang menjejaskan laluan penerbangan di Asia Barat.

Beliau berkata pelancong dari Australia dan New Zealand yang menuju ke Eropah kini semakin kerap melakukan transit melalui hab di Asia Tenggara termasuk Kuala Lumpur, selain menerusi Singapura dan Bangkok.

“Banyak pasaran yang kami lihat, khususnya mereka dari Australia dan New Zealand, melakukan penerbangan melalui Kuala Lumpur, Singapura dan juga Thailand menuju ke Eropah,” katanya.

Nasaruddin berkata perubahan aliran penumpang itu boleh mewujudkan peluang bagi syarikat penerbangan Asia Tenggara, terutama apabila pelancong semakin mengelak lokasi transit di Asia Barat susulan perkembangan geopolitik.

“Bagaimanapun, tumpuan, berdasarkan yang kami lihat pada masa ini, bukan sahaja dalam Malaysia Airlines, malah di seluruh industri, orang ramai cuba mengelak Asia Barat, dan itu adalah perkara biasa.

“Ramai yang melakukan penerbangan terus dari rantau ini, termasuk dari Singapura, Kuala Lumpur dan Bangkok terus ke Eropah. Ini merupakan kelebihan bagi syarikat penerbangan Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata ketika Malaysia berusaha memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan serantau, infrastruktur dan kemudahan lapangan terbang kekal sebagai aspek penting yang perlu terus dipertingkat untuk menyokong pertumbuhan industri serta peningkatan permintaan penumpang pada masa depan.

“Untuk bersaing dengan rakan serantau kita di Asia Tenggara seperti Singapura dan Thailand, infrastruktur dan kemudahan kita perlu menyokong pertumbuhan negara, khususnya dalam konteks lapangan terbang,” katanya.

Beliau berkata corak tempahan penumpang secara keseluruhannya masih tidak berubah buat masa ini, dengan pelancong antarabangsa terus membuat tempahan penerbangan kira-kira tiga bulan lebih awal, manakala tempahan perjalanan domestik dibuat dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebelum berlepas.

Nasaruddin memulakan kerjaya dengan Malaysia Airlines sebagai juruterbang pada 1979 dan seterusnya meningkat dengan memegang pelbagai jawatan kepimpinan penting sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 1 Dis, 2017, sekali gus menjadi Ketua Pegawai Eksekutif paling lama berkhidmat dalam sejarah syarikat itu setakat ini.

Terdahulu, Nasaruddin bersama Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menyertai sesi penilaian program dan beramah mesra bersama peserta program Latihan Jurucakap Media bagi Eksekutif Kanan Tertinggi yang melibatkan wakil pengurusan kanan MAG, diadakan di Pusat Kecemerlangan Bernama, Wisma Bernama di sini hari ini.

Program yang dikendalikan oleh Ketua Saluran dan Kandungan Bernama TV, Gerard Vincent Ratnam, serta penyampai berita Bernama TV, Jasminer Kaur Chahal itu bertujuan meningkatkan keyakinan dan kemahiran peserta dalam mengendalikan temu bual media serta tampil profesional di hadapan kamera.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2559724