KUALA TERENGGANU, 20 Mei (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mengambil langkah proaktif mengurangkan kadar sewa premis sebanyak 20 peratus bermula Jun ini.
Pengerusinya Datuk Rozi Mamat berkata inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban komuniti peniaga yang terkesan akibat kenaikan pelbagai kos sejak kebelakangan in susulan krisis bekalan global.
Beliau berkata inisiatif itu melibatkan 552 unit premis KETENGAH, termasuk gerai, medan selera, rumah kedai serta kilang industri kecil dan sederhana (IKS) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Ketengah Jaya, Bukit Besi, Seri Bandi, Ceneh Baharu dan Tasik Kenyir.
“Kadar sewa yang dikenakan kepada peniaga selepas pengurangan itu bermula serendah RM20 hingga RM1,200 sebulan, bergantung kepada saiz serta lokasi premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rozi berkata pengurangan tersebut diharap dapat membantu peniaga dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global kini.
Beliau berkata langkah itu juga selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua agensi kerajaan lebih peka dan prihatin terhadap cabaran dihadapi peniaga.
-- BERNAMA