KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 24 warga asing disyaki terbabit aktiviti pelacuran menerusi Ops Gegar di sebuah premis rumah kedai empat tingkat di Kota Raya, Jalan Tun Siew Sin di sini, semalam.
Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata mereka terdiri daripada sembilan wanita warga Indonesia, tujuh wanita dan lima lelaki Bangladesh serta masing-masing seorang lelaki Nepal, Indonesia dan Myanmar.
Beliau berkata risikan selama sebulan mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti persundalan yang menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga asing dan tempatan.
“Modus operandi digunakan ialah menawarkan perkhidmatan seks secara terus kepada pelanggan oleh penjaga premis yang beroperasi di tingkat tiga dan empat bangunan itu pada kadar RM80 hingga RM120 bagi sesi 15 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata wanita terbabit dijadualkan mengikut dua syif iaitu dari 10 pagi hingga 8 malam dan 8 malam hingga 5 pagi.
Beliau berkata premis turut dikawal rapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) selain dipantau seorang lelaki tempatan dikenali sebagai “abang long kawasan” manakala pengurusan dalaman premis dikendalikan warga asing dikenali “captain”.
Semua warga asing itu dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas.
-- BERNAMA