PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap platform media sosial, TikTok susulan kegagalan platform itu mengambil tindakan sewajarnya dalam tempoh munasabah untuk menyekat dan menurunkan kandungan bersifat jelik melampau, palsu dan mengancam serta akaun palsu ditujukan kepada institusi diraja.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu dilaksanakan susulan penularan kandungan yang dikaitkan dengan satu akaun kononnya berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
"Kandungan itu mengandungi kenyataan yang jelik melampau, palsu, mengancam dan bersifat menghina.
“Ia turut mengandungi video dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta imej dimanipulasi, yang bukan sahaja berkemungkinan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), tetapi juga undang-undang jenayah lain di Malaysia," menurut MCMC.
Kenyataan itu memaklumkan pengeluaran tuntutan itu menghendaki TikTok melaksanakan langkah pembetulan segera, termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan dan pengendalian kandungan.
"TikTok juga dikehendaki untuk memastikan penguatkuasaan lebih berkesan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform selain memberikan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menangani kandungan mudarat tersebut," kata MCMC.
Suruhanjaya berkenaan memaklumkan walaupun makluman dan libat urus terdahulu dilaksanakan, maklum balas TikTok dalam perkara itu didapati tidak memuaskan, khususnya dalam memastikan penurunan kandungan dilakukan dengan segera serta menghalang penyebaran lanjut kandungan memudaratkan tersebut.
"MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian bagi menyebarkan kandungan yang jelik melampau, palsu, berunsur ancaman atau memudaratkan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“Perkara ini tergolong dalam konteks 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang amat sensitif dan boleh menjejaskan ketenteraman awam, keharmonian negara serta penghormatan terhadap institusi Perlembagaan," menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan bahawa suruhanjaya itu akan terus mengambil tindakan kawal selia yang perlu dan setimpal dalam bidang kuasanya, termasuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya wajar bagi menangani penyalahgunaan platform dalam talian.
Pemberi perkhidmatan media sosial juga dinasihat supaya bertindak secara bertanggungjawab dan pantas dalam menangani kandungan yang menyalahi undang-undang, memudaratkan atau mengancam ketenteraman awam, khususnya dalam perkara menyentuh sensitiviti 3R.
-- BERNAMA