SUKAN

KRW FC Sedia Sertai Liga Super, Atur Perancangan Awal 

25/05/2026 12:06 PM

KOTA BHARU, 25 Mei (Bernama) -- Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bersedia untuk beraksi dalam Liga Super musim depan selepas berjaya menamatkan saingan Liga Semi Pro A1 di tangga keempat musim ini.

Presidennya Datuk Muhamad Zaki Harun berkata sudah tentu pasukan yang beraksi pada saingan Liga A1 mempunyai impian untuk beraksi pada saingan Liga Super yang mempunyai cabaran berbeza.

“Bukan mudah untuk mendapatkan slot ke Liga Super apabila beraksi di Liga Semi-Pro A1, sekarang kami mempunyai peluang itu jadi kami tidak menolak.

“Kami masih menunggu pengumuman rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sama ada kami layak dan dibenarkan beraksi dalam Liga Super musim depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam KRW FC di sini malam tadi.

Dalam saingan Liga Semi Pro A1, KRW FC menamatkan saingan di tangga keempat, sekali gus berjaya melayakkan diri secara merit untuk beraksi pada liga utama, iaitu Liga Super.

Muhamad Zaki mengakui beraksi di Liga Super bukan sesuatu yang mudah kepada pihak pengurusan kerana terpaksa berhadapan pelbagai cabaran, terutamanya kewangan.

“Kami telah melakukan perancangan awal untuk beraksi pada saingan Liga Super musim depan dan berharap rakyat Kelantan, terutamanya ahli perniagaan berbesar hati untuk membantu kami.

“Pada peringkat permulaan, kami perlu memikirkan perancangan kewangan kerana kami tidak mahu isu tunggakan gaji berlaku apabila beraksi pada saingan Liga Super kelak,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku rombakan pemain bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan, namun perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan pasukan.

“Saya serahkan kepada ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim dan pihak pengurusan untuk menentukan pemain yang sesuai untuk memperkuat pasukan.

"Irfan mempunyai pengalaman luas. Saya yakin dan serahkan sepenuhnya kepadanya dari segi kejurulatihan serta pemain. Jika ada rombakan terpaksa dilakukan, kami buat demi bola sepak Kelantan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2561172