AM

Malaysia, Uzbekistan Teroka Peluang Perluas Kerjasama Dalam Sektor Strategik - PM

19/06/2026 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Uzbekistan berpotensi memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor strategik termasuk tenaga, perdagangan, pelaburan, pendidikan, industri halal dan pelancongan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata perkara itu dibincangkan semasa pertemuannya dengan Presiden Shavkat Mirziyoyev ketika pesawat yang membawa beliau membuat hentian transit di Tashkent dalam perjalanan ke Kazan, Rusia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia dari 17 hingga 18 Jun ini.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata pertemuan ringkas itu memberi ruang kepada mereka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala yang terus berkembang dalam pelbagai bidang strategik.

Menurut Perdana Menteri, antara bidang yang dibincangkan ialah perdagangan, pelaburan, pendidikan, industri halal dan pelancongan.

"Kami juga menyentuh kepentingan mempererat kerjasama dalam memelihara dan mengangkat khazanah tamadun Islam serta tradisi keilmuan yang telah melahirkan tokoh-tokoh besar yang menyumbang kepada kegemilangan peradaban manusia," katanya.

Anwar berkata kedua-dua negara turut melihat ruang yang luas untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga khususnya industri gas dan petroleum.

Beliau berkata kerjasama itu bukan sahaja berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi malah menyumbang kepada agenda keselamatan tenaga dan pembangunan mampan.

Perdana Menteri turut menghargai komitmen Uzbekistan dalam memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN dan peranannya yang semakin penting di rantau Asia Tengah.

Beliau berkata hubungan persahabatan antara Malaysia dan Uzbekistan perlu terus diperkukuh bukan sahaja demi manfaat ekonomi dan perdagangan tetapi juga bagi mengangkat martabat insan, memperkasa ilmu selain menjayakan pembangunan yang lebih adil serta inklusif.

--- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2569416