ASTANA, 28 Mei (Bernama-CMG) -- Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China, Zhao Leji mengadakan lawatan ke Kazakhstan selama tiga hari bermula 25 Mei lepas.
Semasa lawatan itu, Zhao bertemu Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev selain mengadakan perbincangan secara berasingan dengan Pengerusi Senat Maulen Ashimbayev dan Speaker Mazhilis Yerlan Koshanov.
Ketika bertemu Presiden Tokayev, Zhao berkata China bersedia bekerjasama dengan Kazakhstan untuk saling menyokong dalam isu-isu melibatkan kepentingan teras kedua-dua negara.
Beliau turut menyeru kedua-dua negara memperkukuh kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), menjayakan aktiviti Tahun Pertukaran Budaya China-Kazakhstan dan meningkatkan lagi persefahaman antara rakyat.
Menurut Zhao, sinergi juga perlu dibentuk bagi memperkukuh koordinasi di bawah kerangka pelbagai hala serta menegakkan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa.
Dalam perbincangan dengan Ashimbayev dan Koshanov, Zhao menyatakan harapan agar badan perundangan kedua-dua negara memperkukuh pertukaran di pelbagai peringkat, sekali gus menyediakan jaminan undang-undang bagi menyokong kerjasama dua hala.
-- BERNAMA-CMG