KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- BRICS International Malaysia menyambut baik hasil positif lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia dan Turkmenistan terutamanya untuk memperkukuh keterjaminan tenaga Malaysia bagi jangka panjang, meningkatkan kerjasama minyak dan gas (O&G) serta memperkukuh kerjasama ekonomi strategik.
Pengerusinya Jaziri Alkaf Abdillah Sufian berkata pertemuan Anwar dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov memperlihatkan keupayaan Malaysia untuk mengekalkan hubungan yang membina dengan blok kuasa besar dunia, dan pada masa sama meningkatkan keutamaan ekonomi negara secara berdaulat.
“Jaminan Rusia untuk menyokong keperluan bekalan minyak, gas dan diesel Malaysia dalam jangka panjang adalah perkembangan yang positif dan tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerjasama strategik melibatkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Turkmenistan merupakan pencapaian penting dalam hubungan Malaysia-Turkmenistan, yang dibina berdasarkan kerjasama selama lebih tiga dekad dalam industri O&G.
Operasi Petronas yang berterusan di Turkmenistan mencerminkan kepakaran Malaysia yang telah mantap dalam operasi tenaga huluan, pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab.
“Perkembangan yang dilaporkan melibatkan antara medan gas terbesar dunia adalah pencapaian penting bagi Petronas serta pengiktirafan yang tinggi terhadap keupayaan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
Menurutnya penglibatan dengan Rusia dan Turkmenistan membuktikan komitmen negara terhadap strategi diplomasi tenaga yang pelbagai, yang meningkatkan keselamatan bekalan, mewujudkan peluang komersial baharu dan meletakkan Malaysia sebagai penghubung yang diyakini antara ASEAN, Asia Tengah, Eurasia dan negara-negara Selatan Global.
Beliau berkata perkembangan itu seiring dengan dasar luar Malaysia yang bebas, pragmatik dan berkecuali.
Menurutnya, selain memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala, kerjasama Malaysia-Turkmenistan turut melambangkan komitmen meluas untuk memperkukuh kerjasama antara Selatan-Selatan, meningkatkan fleksibiliti ekonomi dan memberi sumbangan membina kepada kepada orde dunia yang semakin multipolar.
“Keterjaminan tenaga kekal sebagai tonggak penting daya tahan negara. Kerangka kerjasama jangka panjang yang kukuh dengan Rusia selain kerjasama tenaga huluan yang lebih mendalam dengan Turkmenistan berupaya menyokong matlamat ekonomi jangka panjang Malaysia.
“Selain itu, langkah berkenaan membuka peluang kepada syarikat Malaysia dalam sektor perdagangan, penapisan, logistik, teknologi, latihan, infrastruktur dan pelaburan,” katanya.
Jaziri Alkaf menegaskan bahawa sebarang urusan pada masa akan datang perlu disokong dengan kaedah penilaian yang teliti, tadbir urus yang telus, perlindungan komersial yang kukuh, daya maju kewangan serta patuh sepenuhnya kepada semua keperluan undang-undang dan pengawalseliaan.
BRICS International Malaysia yakin bahawa perkembangan ini dapat menjadi asas kukuh untuk memperluas kerjasama bukan sahaja dalam sektor O&G, malah dalam peralihan tenaga, teknologi, keterjaminan makanan, industri halal, kewangan Islam, pembangunan industri, ekonomi digital, pendidikan dan kesalinghubungan serantau.
“Kami menggalakkan pembuat dasar, perniagaan dan pihak berkepentingan untuk memanfaatkan momentum ini secara strategik dan bertanggungjawab bagi memperkukuh daya tahan jangka panjang Malaysia, daya saing ekonomi, serta peranan dalam negara Selatan Global yang sedang meningkat dan kerangka ekonomi BRICS yang terus berkembang,” katanya.
-- BERNAMA