Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 28 Mei (Bernama) -- Konteks lebih luas mengenai cabaran berterusan di Selat Hormuz, yang mengendalikan 84 peratus penghantaran minyak mentah ke pasaran Asia pada 2024, merupakan antara topik yang dibincangkan dalam edisi terkini Penilaian Keselamatan Serantau Asia-Pasifik (APRSA) Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS), yang dikeluarkan di sini pada Khamis.
Laporan itu turut meneliti laluan strategik geopolitik utama lain di rantau Lautan Hindi, termasuk Selat Melaka, dari perspektif persaingan strategik dan kepentingan negara kepulauan yang membentuk dinamik keselamatan serantau.
“APRSA 2026 diterbitkan pada waktu berlakunya perubahan strategik di seluruh Asia-Pasifik, sebuah rantau yang tidak lagi boleh diklasifikasikan sebagai benar-benar aman,” kata Editor APRSA, Dr Evan Laksmana dalam satu kenyataan.
“Negara-negara serantau sedang mencari laluan untuk memperkukuh daya tahan dan menuntut lebih banyak daripada pihak pertahanan serta keselamatan mereka bagi mengurus pertambahan titik panas keselamatan.
“Dinamik ini akan menjadi antara perbahasan utama pada Dialog Shangri-La IISS ke-23, yang mana laporan ini bertujuan memberikan maklumat dan konteks yang lebih baik,” katanya.
Menurut Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS), edisi 2026 itu menawarkan analisis mendalam mengenai cabaran dan dasar keselamatan utama di rantau ini.
IISS berkata laporan berkenaan meneliti bagaimana persepsi, geografi dan teknologi membentuk cabaran keselamatan itu, termasuk doktrin ketenteraan, konflik semasa dan terkini, risiko nuklear serta kemajuan teknologi kuantum di rantau berkenaan.
Laporan yang diterbitkan oleh IISS itu kini memasuki edisi ke-13 dan ditulis oleh 11 pakar IISS.
“Walaupun cabaran keselamatan sentiasa kompleks, kadar, skop dan intensitinya kini meningkat secara mendadak sehingga menaikkan taruhan strategik, sekali gus menyebabkan penggubal dasar tidak lagi boleh mengelak daripada tanggungjawab untuk bertindak balas.
“Laporan Strategik Tahunan IISS ini menganalisis bagaimana tiga tema utama iaitu doktrin ketenteraan, geografi dan teknologi menjadi asas kepada cabaran serta dasar keselamatan utama di seluruh Asia-Pasifik,” menurut laporan itu.
Selain menyediakan “analisis mendalam, data asal dan grafik” mengenai isu Selat Hormuz, laporan itu turut meliputi beberapa topik lain, termasuk doktrin ketenteraan Amerika Syarikat (AS), China dan India; pemodenan angkatan darat India, Indonesia dan Jepun; bagaimana perlumbaan senjata nuklear baharu boleh tertumpu di rantau Asia-Pasifik; serta kemajuan teknologi kuantum.
Topik mengenai peluang dan cabaran Thailand dalam memainkan peranan lebih besar di bawah Konsensus Lima Perkara ASEAN, khususnya dalam menangani konflik pasca rampasan kuasa di negara jiran Myanmar, turut disentuh.
Laporan itu akan dilancarkan pada Jumaat - https://www.iiss.org/events/2026/052/asia-pacific-regional-security-assessment-2026-launch/.
IISS merupakan badan pemikir pertahanan dan keselamatan yang mempunyai pemahaman mendalam mengenai geopolitik dan geoekonomi serantau dalam konteks global.
-- BERNAMA