KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Malaysia meneruskan momentum cemerlang apabila lima wakil negara mara ke separuh akhir Terbuka Macau hari ini.
Pada perlawanan suku akhir berlangsung di di Macau East Asian Games Dome, perseorangan lelaki profesional negara Eogene Ewe menewaskan pilihan kedua dari Singapura Jason Teh 21-9, 21-19.
Eogene dijadualkan berdepan Hu Zhe An dari China yang mengetepikan rakan senegara Dong Tian Yao 21-15, 21-12.
Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing turut melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan wakil Korea Selatan Song Hyun Cho-Jeong Na Eun 21-11, 21-13 untuk berdepan gandingan tuan rumah Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin.
Turut ke separuh akhir, beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting yang menewaskan wakil Korea Selatan Kim Hye Jeong-Moon In Seo 21-14, 21-16, untuk menempah pertemuan dengan wakil China, Bao Li Jing-Cao Zi Han.
Dua beregu lelaki negara turut mengukuhkan cabaran Malaysia menerusi Chia Weijie-Teo Ee Yi yang menyingkirkan wakil Taiwan Wei Chun Wei-Poh Chih Yang 22-20, 18-21, 21-13, diikuti gandingan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang menewaskan rakan senegara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 14-21, 21--11, 24-22.
Weijie-Ee Yi akan berdepan lawan dari Korea Selatan Jin Yong-Lee Jong Min manakala Hang Yee-Eng Cheong membuat perhitungan dengan pilihan keempat dari Indonesia Ali Faatir Rayhan-Devin Arta Wahyudi.
-- BERNAMA