ISTANBUL, 28 Mei (Bernama-Anadolu) -- Pihak berkuasa kesihatan Australia melanjutkan tempoh kuarantin enam individu yang berada di atas sebuah kapal persiaran yang dilanda wabak hantavirus sehingga akhir Jun, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan pada Khamis.
Penumpang kapal persiaran itu akan terus dikuarantin di Bullsbrook, pinggir bandar Perth, sehingga 23 Jun, menurut laporan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).
Penumpang terbabit terdiri daripada empat warga Australia, seorang pemastautin tetap dan seorang warga New Zealand yang tiba di Centre for National Resilience di Bullsbrook pada 15 Mei lepas.
Menteri Kesihatan Australia Mark Butler berkata keputusan untuk melanjutkan tempoh kuarantin mereka dibuat berdasarkan nasihat pihak berkuasa kesihatan selepas dua lagi penumpang dari Sepanyol dan Belanda disahkan positif jangkitan itu.
Beliau berkata penumpang terbabit telah dimaklumkan mengenai keputusan itu dan “masih berada dalam keadaan baik”.
“Mereka baru sahaja menjalani ujian semula dalam tempoh 24 hingga 36 jam lalu, dan kesemua enam individu itu sekali lagi disahkan negatif,” katanya lagi.
-- BERNAMA-ANADOLU