BUTTERWORTH, 12 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mendapatkan maklumat daripada pihak pemaju berhubung status terkini sebidang tanah di Taman Manggis di George Town yang didakwa masih belum dibangunkan walaupun telah dijual untuk tujuan pembangunan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ketika ini, beliau tidak mempunyai maklumat terperinci berhubung perkembangan semasa projek berkenaan, namun akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak pemaju.
“Memang tanah itu sudah pun dijual kepada syarikat berkaitan … saya percaya kebenaran merancang diluluskan pada satu ketika dahulu, tetapi kita tidak lihat ada apa-apa perkembangan (projek ini).
“Saya mahu dapat makluman terkini, rancangan syarikat ini untuk memajukan tanah yang sudah pun dijual sejak bertahun-tahun dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Galatek Technologies di Kawasan Perindustrian Perai, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai gesaan Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang Oh Tong Keong yang meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung status tanah berkenaan yang didakwanya masih terbiar dan gagal dibangunkan sebagai projek perumahan rakyat.
Mengulas lanjut, Chow berkata tanah tersebut telah dimiliki sebuah syarikat dan sebarang pelaksanaan pembangunan adalah di bawah tanggungjawab pemaju berkenaan.
Beliau, bagaimanapun berkata kerajaan negeri akan mendapatkan semakan lanjut berkaitan perjanjian serta status pelaksanaan projek sebelum memberikan ulasan terperinci.
-- BERNAMA