KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Jumlah pembiayaan mikro terkumpul yang diagihkan oleh institusi perbankan pembangunan (DFI) kepada usahawan dan peniaga pasar tani di seluruh negara kini melebihi RM5 juta.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata daripada jumlah itu, Agrobank merekodkan permohonan pembiayaan mikro baharu bernilai RM2.1 juta menerusi siri program libat urus bersama peniaga pasar tani, yang dilaksanakan sejak tiga minggu lepas.
“Sesi ketiga ini mengambil kira tiga lokasi pasar tani yang telah kami lawati. Secara terkumpul, pembiayaan mikro yang telah diagihkan kepada usahawan-usahawan pasar tani adalah melebihi RM5 juta.
"Daripada jumlah itu, Agrobank menyumbang sebanyak RM2.1 juta,” katanya pada sidang media selepas program turun padang di Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, di sini hari ini.
Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri ialah lokasi ketiga dalam siri program berkenaan selepas Pasar Tani Taman Melawati dan Pasar Tani Kelana Jaya.
Lokasi itu dipilih berikutan aktivitinya yang rancak dengan penyertaan kira-kira 70 peniaga yang beroperasi pada hampir 100 lot perniagaan serta menerima anggaran 5,000 pengunjung setiap minggu.
Turut menyertai program itu wakil Kementerian Kewangan (MOF) serta enam agensi dan institusi kewangan lain, iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata kemudahan pembiayaan berkenaan disediakan sebagai komitmen berterusan Agrobank untuk memperluas akses kewangan yang inklusif dan bersesuaian dengan keperluan peniaga kecil.
Beliau berkata inisiatif itu juga selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya institusi kewangan dan DFI mempergiat program libat urus serta turun padang bagi menyantuni golongan usahawan kecil secara langsung.
Mengulas mengenai perkembangan skim pembiayaan itu, beliau berkata Agrobank menerima sambutan yang menggalakkan dengan lebih 78 permohonan diterima sejak ia diperkenalkan kira-kira tiga minggu lepas.
“Sasarannya adalah untuk mencapai 1,000 permohonan daripada penjaja di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pasar tani, kerana dalam keseluruhan penjaja pasar tani FAMA, terdapat lebih kurang 5,000 peniaga di seluruh Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Agrobank dalam kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM20 juta disediakan bagi menyokong penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara menerusi Skim Agrobank x Pasar Tani.
Melalui skim itu, usahawan yang layak boleh memperoleh pembiayaan perniagaan dengan kadar keuntungan serendah 2.5 peratus setahun.
Selain kemudahan modal, Agrobank turut menyediakan sokongan pembangunan perniagaan meliputi latihan pengurusan kewangan, strategi pemasaran serta perlindungan takaful percuma menerusi pakej Akaun Penjaja-i dan Penjaja Agrobank Pasar Tani x FAMA.
Siri program turun padang secara mingguan hasil kerjasama tujuh agensi ini akan diteruskan di beberapa lokasi pasar tani terpilih di seluruh negara sehingga akhir Julai depan.
-- BERNAMA