AM

Agrobank Bantu Persediaan Awal Ibadah Korban Melalui Akaun Simpanan AGROKorban-i

28/05/2026 02:26 PM

KUALA SELANGOR, 28 Mei (Bernama) -- Sebagai usaha untuk membantu umat Islam merancang kewangan bagi melaksanakan ibadah korban secara lebih sistematik dan berterusan, Agrobank hari ini melancarkan Akaun Simpanan AGROKorban-i.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata produk deposit patuh syariah itu membolehkan pelanggan membuat simpanan secara berperingkat dengan pembukaan akaun serendah RM20 sehingga mencapai sasaran kewangan untuk melaksanakan ibadah korban.

“Ibadah korban bukan sahaja menuntut keikhlasan dan kemampuan, malah memerlukan perancangan kewangan yang baik, justeru melalui Akaun Simpanan AGROKorban-i ini, Agrobank ingin membantu pelanggan membina tabungan secara konsisten agar hasrat untuk menunaikan ibadah korban dapat direalisasikan dengan lebih mudah.

“Akaun Simpanan AGROKorban-i diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha Agrobank untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang bukan sahaja praktikal, tetapi turut memupuk budaya menyimpan sebagai satu persediaan yang lebih bermatlamat dan memberi manfaat kepada diri, keluarga serta komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran produk tersebut di Agrobank Cawangan Tanjung Karang, di sini, bersempena dengan program Agro Korban 2026, inisiatif tahunan bank itu dalam menyantuni masyarakat setempat melalui pelaksanaan ibadah korban dan pengagihan daging.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata buat permulaan Agrobank menyasarkan 5,000 bahagian korban dapat dilaksanakan pada tahun depan menerusi Akaun Simpanan AGROKorban-i di seluruh cawangan.

Beliau berkata Agrobank akan terus menyediakan produk yang dekat dengan keperluan pelanggan bagi memberi ruang kepada mereka membuat persediaan awal terutamanya dalam konteks melaksanakan ibadah korban.

“Kita berharap produk ini berjaya memupuk budaya menabung dalam komuniti Islam, terutamanya bagi tujuan yang khusus dalam jangka masa yang panjang. 

“Diharapkan inisiatif ini dapat membantu orang ramai merancang kewangan dengan lebih baik, sekali gus memperkukuhkan nilai keprihatinan sosial dan memberi manfaat kepada diri sendiri serta masyarakat,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2562261