AM

Sabah Disaran Aktifkan Dana "Media Buy" Wujudkan Ekosistem Menang-menang

13/06/2026 10:38 PM

KOTA KINABALU, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah, kementerian dan agensinya disaran agar mengaktifkan dana pembelian media atau media buy bagi mewujudkan ekosistem ekonomi yang saksama serta saling menguntungkan bersama dengan organisasi media di negeri berkenaan.

Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil berkata langkah itu wajar dipertimbang kerana kementerian dan agensi di bawah kerajaan negeri amat aktif menghantar siaran akhbar dan mengundang para wartawan untuk membuat liputan meluas terhadap pelbagai aktiviti mereka.

"Sekiranya ruang berita yang diberikan secara percuma oleh pihak media dihitung untuk tempoh setahun, nilai publisiti tersebut sebenarnya boleh mencecah jutaan ringgit.

"Pulangan pelaburan yang diterima organisasi media ketika ini didapati agak kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah dana besar yang dilaburkan kepada pencipta kandungan mahupun pempengaruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis anugerah kewartawanan berprestij, Kinabalu Press Awards (KPA) 2026 yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Mariah, yang juga Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia, berkata saranan itu dikemukakan secara terbuka kerana agensi media arus perdana kini berdepan cabaran kelangsungan kewangan yang amat meruncing untuk terus bertahan dalam industri.

Beliau berkata trend pasaran masa kini menyaksikan dana pengiklanan korporat, yang dahulunya menjadi nadi bilik berita, kini banyak beralih dan dilaburkan ke platform media sosial.

"Pada masa sama, situasi pasaran menjadi semakin parah apabila majoriti masyarakat mahu membaca atau menggunakan berita dalam talian secara percuma namun sangat culas untuk mengeluarkan belanja bagi melanggan akhbar... kenapa kita boleh berbelanja untuk kopi matcha RM10 sehari tetapi untuk langganan akhbar sebanyak RM1.50 sehari, sangatlah sukar sedangkan kewartawanan yang baik memerlukan kos yang tinggi," katanya.

Mariah juga berkata proses menghasilkan berita berkualiti dan sahih menuntut komitmen masa dan kewangan yang besar bagi membiayai gerak kerja wartawan membuat penyelidikan, menyemak fakta, bertemu sumber selain kos menjaga keselamatan serta kebajikan mereka.

Mengulas mengenai perbezaan peranan dalam ruang maklumat digital, beliau berkata pencipta kandungan boleh menghasilkan video dan memuat naik hantaran dengan pantas demi meraih perhatian tetapi wartawan memikul tanggungjawab etika yang berbeza untuk membuat pengesahan serta suntingan teliti.

Justeru, Mariah menyeru pengamal media di Sabah untuk turut sama melakukan transformasi digital dengan meneroka bidang Kewartawanan Mudah Alih (MOJO) secara serius agar kekal relevan dalam memenuhi kehendak masyarakat.

Sebagai usaha memacu perkembangan itu, SJA mengumumkan bahawa buat julung-julung kalinya, Anugerah MOJO akan diperkenal pada penganjuran KPA 2027 untuk memberi ruang yang mencukupi kepada wartawan merancang laporan kreatif masing-masing.

KPA 2026 melakar sejarah tersendiri apabila menerima sebanyak 354 penyertaan berbanding 268 pada tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568269