AM

Wayang Pacak Dekatkan Masyarakat Dengan Filem Tempatan, Industri - FINAS

13/06/2026 11:05 PM

KUALA PILAH, 13 Jun (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan memperluas penganjuran program wayang pacak ke seluruh negara bagi mempromosikan karya tempatan kepada masyarakat luar bandar, selari dengan aspirasi Program Hasrat MADANI.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata pendekatan itu bukan sahaja bertujuan mempromosikan karya tempatan, malah memberi peluang kepada rakyat di kawasan luar bandar berinteraksi secara langsung dengan pelakon dan penggiat industri kreatif.

"Malam ini, kita menayangkan filem Gemencheh Boys yang amat bersesuaian dengan Negeri Sembilan kerana ia mengisahkan kisah benar pelajar bersama guru mereka dalam sukan kriket.

"Kita juga membawa bersama pelakon Pekin Ibrahim dan seorang daripada pengarah filem itu Eric Ong bagi mendekatkan mereka dengan penonton," katanya ketika ditemui pada Program Hasrat MADANI anjuran Kementerian Komunikasi di sini malam ini.

Azmir Saifuddin berkata sambutan terhadap filem tempatan semakin memberangsangkan apabila industri perfileman negara mencatat peningkatan ketara tahun lepas dengan beberapa filem mencapai kutipan pecah panggung.

Beliau berkata setakat tahun ini, sebanyak lima hingga enam filem tempatan telah berjaya mencatatkan kutipan melebihi RM10 juta, sekali gus menunjukkan peningkatan minat rakyat terhadap karya tempatan berbanding filem antarabangsa.

"Trend baharu yang kita lihat ialah semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menonton filem tempatan. Sebab itu kita membawa filem-filem popular ini ke luar bandar bersama artis supaya mereka lebih rapat dengan penonton," katanya sambil menambah sambutan terhadap program wayang pacak masih menggalakkan.

Dalam pada itu, Azmir Saifuddin memaklumkan usaha mempromosikan filem tempatan akan terus dipergiat menjelang Bulan Kebangsaan dengan tayangan beberapa naskhah bertemakan kemerdekaan.

Beliau berkata FINAS juga akan menyertai perarakan Hari Kebangsaan tahun ini dengan menampilkan kontinjen artis serta karakter animasi tempatan yang dijangka menjadi antara tarikan utama pengunjung.

Mengenai Festival Filem Malaysia (FFM) yang dijadual berlangsung November depan, beliau berkata FINAS sedang giat melakukan persiapan termasuk mengadakan siri jelajah ke sekolah, universiti dan kampung bermula empat bulan sebelum acara kemuncak dengan membawa filem serta artis untuk mendekati masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568275