KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Program Fun Walk HAWANA 2026 berjaya menghimpunkan hampir 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh meriah, sekali gus memupuk amalan gaya hidup sihat, mengeratkan hubungan kekeluargaan dan komuniti.
Selain pengamal media, acara berjalan kaki sejauh 2.6 kilometer itu turut disertai penjawat awam, pelajar dan orang ramai daripada pelbagai latar belakang, usia serta kaum.
Rata-rata peserta menyifatkan Fun Walk HAWANA 2026 memberikan pengalaman bermakna kerana membuka ruang untuk mereka mendekati pengamal media sambil menikmati aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan-rakan.
Seorang peserta warga emas, Saadiah Ahmad, 69, sanggup datang dari Perak dengan menaiki tren bagi menyertai program yang diadakan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
“Saya datang untuk beri sokongan kepada wartawan. Program seperti ini sangat bagus kerana dapat mendekatkan masyarakat dengan wartawan dan memberikan manfaat kepada kesihatan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Walaupun lutut saya sakit, laluan di Taman Tasik Titiwangsa tidak memudaratkan dan masih selesa untuk warga emas berjalan. Program begini bagus untuk eratkan silaturahim dan menyihatkan badan,” katanya yang hadir bersama 10 ahli keluarga, termasuk besan berusia 64 tahun, cucu dan saudara-mara.
Seorang lagi peserta, Eewern Eh Jun, 34, berkata program itu wajar diteruskan kerana berjaya memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Peserta bukan hanya berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah, tetapi juga boleh menjalani saringan kesihatan di ruang pameran kesihatan yang disediakan. Aktiviti senamrobik pada awal dan akhir program juga amat menarik,” katanya kepada Bernama.
Selain sesi berjalan kaki, peserta disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk permainan rakyat, aktiviti mewarna kanak-kanak, senamrobik dan tarian poco-poco.
Program anjuran Bernama itu turut menawarkan 500 hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan hingga RM50,000, termasuk 10 hadiah utama berupa motosikal elektrik, basikal serta barangan elektrik.
Turut menjadi tumpuan ialah penyampaian hadiah bagi kategori peserta paling ceria, kostum terbaik, peserta paling “sporting”, foto berkumpulan terbaik serta swafoto terbaik.
Bagi peserta cilik, Aufa Ukail Mohd Shahril, program itu memberikan pengalaman bermakna apabila dia berjaya menamatkan laluan yang ditetapkan dan membawa pulang pingat penyertaan.
“Saya bangga sebab dapat habiskan jalan kaki hari ini,” katanya yang hadir bersama ibu bapa dan adiknya selepas bangun seawal 6.30 pagi untuk menyertai program itu.
Sementara itu, Ain Nur Balqish Mohd Fauzi, 23, berkata beliau menyertai program berjalan santai itu bersama keluarganya sebagai aktiviti hujung minggu yang bermanfaat.
“Sebenarnya ibu yang mengajak kami sekeluarga untuk menyertai program yang bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan tetapi juga menyihatkan tubuh badan.
“Pengisian program juga amat menarik kerana ada senamrobik, saringan kesihatan dan trak minuman Milo,” katanya sambil menambah program seumpama itu wajar diteruskan kerana sesuai untuk semua peringkat umur.
Peserta yang mahu dikenali sebagai Ridzuan Zakaria, 65, pula berkata dia hadir bersama enam anggota keluarga termasuk anak, menantu dan cucu.
“Kami datang untuk berjalan-jalan dan luangkan masa bersama keluarga dan turut memenangi cabutan bertuah berupa baucar,” katanya sambil menyifatkan program itu menarik kerana menawarkan pelbagai aktiviti serta reruai yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Terdahulu, pelepasan acara berjalan kaki itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah pada 7.45 pagi.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj, dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak bersama-sama pengurusan tertinggi Bernama.
Penganjuran Fun Walk HAWANA 2026 mendapat sokongan daripada 14 rakan strategik terdiri daripada sektor korporat dan institusi, antaranya Pusat Perubatan Universiti Malaya, Basic Tees, BigBigPlace, Maxim E-Hailing, Cap Kunci, Milo, Extra Joss, Munchy’s Oat Krunch, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), MOMAwater, Yakult, ZUS Coffee, Selangor Fruit Valley dan Sunshine Bakeries.
Kemuncak sambutan HAWANA 2026 akan berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun, dan dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA