JENAYAH & MAHKAMAH

Penggunaan Dron Lebih Berkesan Kekang Penyeludupan Di Sungai Golok - Polis

14/06/2026 01:15 PM

KOTA BHARU, 14 Jun (Bernama) -- Penggunaan teknologi dron dilihat jauh lebih efektif dalam mengekang aktiviti penyeludupan di sepanjang Sungai Golok berbanding rondaan bot oleh Polis Marin berikutan faktor sungai berkenaan yang sempit.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata memantau sempadan menggunakan bot peronda tradisional kini kurang berkesan kerana bunyi enjin yang terlalu mudah dihidu oleh anggota sindiket penyeludupan di seberang sempadan sebelum sempat pihak berkuasa mengambil tindakan.

Beliau berkata sungai yang sempit membolehkan penjenayah memantau rapat pergerakan aset air pihak berkuasa dari jarak jauh, sekali gus menyukarkan operasi tangkapan dilakukan secara bersemuka.

"Pada saya, tidak berkesan sangat kita ronda dengan bot sebab sungai terlalu sempit, tidak sempat buat apa-apa. Di seberang sana pun sudah boleh dengar bot sampai, jadi mereka tidak akan masuk (menyeludup) pada masa itu.

"Sebab itu pada pandangan saya, adalah lebih baik kita gunakan teknologi dron berbanding rondaan bot untuk memantau kawasan sempadan sebelum tembok atau pagar keselamatan dibina sepenuhnya di sebelah wilayah kita," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas mengenai logistik kawalan sempadan semasa, beliau berkata sebanyak 300 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditugaskan pada setiap bulan untuk mengawal jajaran sempadan sejauh 91 kilometer yang merangkumi 17 pos kawalan.

Bagaimanapun, Mohd Yusoff mengakui wujud ruang lompong ekoran jarak antara satu pos ke satu pos yang agak jauh, iaitu mencecah dua hingga tiga kilometer yang sering cuba dimanipulasi oleh sindiket penjenayah.

Katanya, sindiket berkenaan dikesan mengambil kesempatan berdasarkan perubahan cuaca, termasuk ketika fenomena Sungai Golok surut dan cetek sebelum ini yang menyaksikan cubaan menyeludup keluar kenderaan curi ke negara jiran.

Beliau berkata bagi mengatasi kekangan perimeter yang luas itu, kawasan titik buta tersebut kini diperkukuh menerusi penugasan Unit Risik PGA serta permohonan aset dron yang lebih canggih daripada Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melaksanakan operasi bersepadu.

Selain pemantauan udara, PDRM Kelantan turut mengoptimumkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi bagi mematahkan taktik sindiket rentas sempadan yang dikesan beralih kepada aplikasi komunikasi sulit serta media sosial.

Malah, bagi meningkatkan integriti dan ketelusan operasi di lapangan, semua anggota penguat kuasa termasuk unit kenderaan peronda (MPV) dan PGA yang bertugas melakukan rondaan di sempadan kini diwajibkan memakai kamera badan.

Menyentuh mengenai aspek keselamatan anggota di lapangan, Mohd Yusoff berkata kawalan ketat sentiasa diamalkan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang dinamik termasuk pelaksanaan sistem buddy atau berpasangan semasa rondaan bermotosikal dijalankan.

Katanya, hasil pematuhan SOP yang ketat itu, tiada sebarang insiden ancaman fizikal, konfrontasi, mahupun ugutan dikesan membabitkan keselamatan anggota sepanjang tempoh setahun setengah beliau menerajui kontinjen berkenaan.

"Pihak polis juga terus memperketatkan pemeriksaan secara rawak dan berkala di sepanjang sempadan berbanding amalan kelonggaran sebelum ini bagi memastikan tiada ruang bebas bagi aktiviti penyeludupan senjata api, dadah, mahupun kemasukan barangan haram menerusi pangkalan haram di negeri itu," katanya.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568346