SEREMBAN, 14 Jun (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dadah disyaki syabu serta ganja dianggarkan lebih 50 gram menerusi serbuan di sekitar daerah itu semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Yatim Osman berkata lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 3.30 petang.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 31 paket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran seberat 51.47 gram serta gulungan kertas mengandungi ceraian daun kering disyaki ganja seberat 0.20 gram.
“Jika dadah itu terlepas ke pasaran, ia mampu menampung penggunaan 100 penagih. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif syabu dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah serta satu jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA