AM

Pingat Berukir Nama Jadi Kenangan Istimewa Fun Walk HAWANA 2026

14/06/2026 02:41 PM

Oleh Siti Nur Athirah Abdullah dan Yasmin Damia Mohd Rizal

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Jika kebanyakan acara jalan santai menghadiahkan pingat penamat sebagai simbol penyertaan, Fun Walk HAWANA 2026 menawarkan sesuatu yang lebih istimewa apabila peserta berpeluang mengabadikan nama sendiri pada pingat diterima.

Keunikan itu menjadi antara tarikan utama program berkenaan, sekali gus menjadikan pingat penamat bukan sekadar cenderamata, malah kenangan peribadi yang lebih bermakna buat peserta.

Bagi Aina Adriana Azizan, 28, pingat penamat diterimanya merupakan kenangan unik yang akan sentiasa diingati.

Hadir memeriahkan program itu bersama kakaknya, Aina Adriana berkata peluang mengukir nama secara percuma di reruai BigBigPlace - satu daripada 14 rakan strategik Fun Walk HAWANA 2026 - memberikan nilai tambah kepada acara santai berkenaan.

“Pingat yang diperoleh hari ini sangat unik, menarik dan tidak akan saya lupakan kerana di sini kami dapat mengukir nama sendiri pada pingat secara percuma dan prosesnya juga sangat cepat.

“Selain nama, kita juga boleh memilih untuk meletakkan perkataan lain atau nombor bermakna mengikut cita rasa sendiri, seperti tarikh lahir,” katanya kepada Bernama selepas acara itu di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Keterujaan sama turut dikongsi Asymal Widad Asyhar Badri, 26, yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai kelainan membezakan Fun Walk HAWANA 2026 daripada acara larian dan jalan santai lain yang pernah disertainya.

“Ia memberikan rasa lebih eksklusif dan dapat disimpan sebagai kenangan peribadi,” katanya yang turut memenangi cabutan bertuah kotak penyejuk.

Fun Walk HAWANA 2026 dianjurkan bagi memupuk gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan antara pengamal media dan masyarakat melalui aktiviti riadah berasaskan komuniti.

Program yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini menghimpunkan hampir 2,000 peserta terdiri daripada pengamal media dan keluarga mereka, wakil agensi kerajaan dan orang ramai.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568348