POLITIK

Jangan Ada Pengkhianatan Dalam Kerjasama Politik - Anwar

14/06/2026 05:15 PM

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan supaya tidak wujud sebarang unsur pengkhianatan oleh mana-mana pihak dalam pembentukan kerjasama politik di negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata aspek kerjasama yang baik penting terutama ketika negara berdepan krisis ekonomi yang memerlukan semua pihak berganding bahu.

“Saya bagi kenyataan dalam menjayakan kerjasama dalam negara ini, jangan ada unsur-unsur pengkhianatan. Kalau tidak khianat, baguslah,” kata beliau ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) kali ke-10, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) Saiful Azhar Shaharun.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, yang menegaskan tidak seharusnya timbul isu pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran berakhir. 

Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat bagi menafikan dakwaan beberapa pemimpin PH yang melabel UMNO sebagai 'pengkhianat', susulan pengumuman Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Presiden PKR berkata pihaknya merasakan terdapat sedikit unsur pengkhianatan dalam kerjasama politik di negeri berkenaan.

“Kalau dalam pengalaman kita di Negeri Sembilan, tentunya ada usaha (khianat) dalam keadaan stabil politiknya, ekonominya tetapi ada unsur-unsur untuk menjatuhkan. 

“Jadi, bagi saya ada sedikit pengkhianatan. Dalam soal Johor ini, itu terserahlah dia nak adakan pilihan raya lebih awal,” kata beliau.

Anwar berkata sekiranya tiada unsur pengkhianatan, tumpuan semua pihak seharusnya beralih kepada usaha memperkukuh kefahaman mengenai kerjasama politik sedia ada.

Beliau menegaskan tumpuan utama Kerajaan MADANI ketika ini adalah untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara selain menyelesaikan segala permasalahan rakyat.

“Saya kata tumpuan kita menjana pertumbuhan ekonomi negara dan masalah rakyat, bukan sibuk soal pilihan raya dalam dua tiga bulan ini," kata beliau.

Pada 12 Jun lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 11 Julai, manakala PRN Negeri Sembilan 1 Ogos depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568350