KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) telah melancarkan Program Pemecut Triple (Tiga) Selangor 2026 menerusi pengenalan segmen Token-X baharu untuk untuk syarikat pemula niaga aset digital, rantaian blok dan Web3.
Token-X diperkenalkan bersama Deep-X (teknologi) dan Retail-X (teknologi runcit) sedia ada, menurut Sidec.
Sidec dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa program itu menghimpunkan tiga segmen yang saling melengkapi dengan Deep-X menyokong syarikat pemula teknologi teras (deep-tech) dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, bioteknologi, robotik dan kemampanan, sekali gus membawa pengasas daripada peringkat bukti konsep kepada penyelesaian yang sedia menerima pelaburan.
“Retail-X membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhadapan dengan pengguna merentasi lima sektor - makanan dan minuman; fesyen dan gaya hidup; kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan; kehidupan di rumah dan jenama berimpak sosial, peralihan kepada digital, dipacu data dan operasi omnichannel (saluran bersepadu).
“Sementara itu, Token-X yang diperkenalkan tahun ini, menyokong syarikat pemula niaga dalam aset digital, rantaian blok dan ekonomi Web3 yang baharu muncul, merangkumi tokenisasi aset dunia sebenar, kredit komoditi dan karbon, sekuriti digital, infrastruktur rantaian blok dan teknologi kawal selia serta harta intelek digital,” menurut kenyataan itu.
Menurut Sidec, syarikat baharu dan PKS terpilih merentasi ketiga-tiga segmen akan mengambil bahagian dalam pemecut berstruktur, direka untuk menggerakkan mereka daripada idea kepada perniagaan bersedia menerima pelaburan dan boleh berkembang luas.
“Peserta akan mendapat bimbingan berstruktur daripada pengendali industri berpengalaman, pengasas dan pakar serta akses kepada pelabur, modal teroka dan peluang pembiayaan.
“Selain itu, peserta juga akan menerima sokongan langsung dalam menerima pakai teknologi yang berkaitan, daripada kecerdasan buatan dan teknologi teras kepada teknologi runcit dan aset digital,” menurut kenyataan itu.
Sidec memaklumkan bahawa inisiatif itu juga akan menyediakan akses pasaran, keterlihatan jenama dan hubungan dengan pelanggan dan rakan kongsi ekosistem, faedah lain termasuk laluan pengembangan antarabangsa melalui misi Usaha Niaga Peringkat Dunia Sidec ke Korea Selatan, Singapura dan Shanghai, serta laluan yang jelas daripada bukti konsep kepada pertumbuhan komersial, disokong oleh rangkaian lebih daripada 30 penggiat ekosistem.
Majlis pelancaran program berkenaan dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.
“Acara berkenaan juga menandakan pelancaran Sidang Kemuncak AI Selangor dan Semikonduktor (AiSEM) dan pengenalan Wira AI, program penggunaan AI baharu untuk PKS, menekankan tumpuan Selangor terhadap industri yang penting kepada masa depan ekonomi Malaysia,” menurut Sidec.
-- BERNAMA