AM

Program Pembangunan Durian Musang King UniSZA Berjaya Hasilkan Buah Premium

15/06/2026 05:14 PM

JERTIH, 15 Jun (Bernama) -- Program Pembangunan Plot Durian Musang King yang diusahakan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sejak 2018 di Ladang UniSZA Pasir Akar, Hulu Besut, kini mula membuahkan hasil. 

Pegawai Pertanian UniSZA Mohd Rohaizad Md Rejab berkata sebanyak 45 daripada 207 pokok durian variati premium yang ditanam di kebun yang berkeluasan 1.2 hektar itu kini bukan sahaja mengeluarkan buah yang lebat tetapi juga berkualiti. 

“Semua pokok tersebut pada asalnya dibiakkan melalui teknik cantuman menggunakan induk terpilih oleh Pusat Pengurusan Ladang (PPL) universiti.

“Penggunaan pokok penanti daripada baka durian yang tahan lasak menjadi antara faktor utama dalam memastikan daya tahan tanaman terhadap penyakit dan perosak selain membantu pembentukan sistem akar yang lebih kukuh,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Katanya, bagi memastikan kadar kelangsungan hidup yang tinggi, proses penanaman turut dilaksanakan secara berfasa mengikut kesesuaian cuaca dan keadaan ladang. 

Mengulas lanjut, Mohd Rohaizad berkata pencapaian itu bukan sahaja membuktikan kecekapan pengurusan ladang oleh warga PPL, malah menyerlahkan potensi Ladang UniSZA sebagai pusat rujukan dalam pengurusan tanaman durian premium secara komersial. 

“Plot tanaman ini dijangka mampu menjadi sumber pendapatan jangka panjang yang mampan kepada universiti, di samping menyokong agenda pemindahan teknologi dan pembangunan pertanian moden yang berimpak tinggi kepada masyarakat serta industri agromakanan negara. 

“Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen UniSZA dalam memperkasakan bidang pertanian berasaskan inovasi dan amalan terbaik, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju kecemerlangan ilmu dan pembangunan lestari,” katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2568702