KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Vantris Energy Bhd kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM145.79 juta pada suku pertama (S1) bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 (TK2027), berbanding kerugian bersih RM477.95 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Firma perkhidmatan minyak dan gas itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh kerugian lebih rendah yang diiktiraf daripada projek di Angola, yang hampir siap, pengiktirafan tuntutan insurans yang menggalakkan dan pengurangan kos kewangan berikutan penyiapan penstrukturan semula kumpulan itu.
Bagaimanapun, pendapatan merosot kepada RM645.21 juta pada suku pertama tahun kewangan 2027, berbanding RM801.37 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026.
“Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C), yang sekali gus mencerminkan peralihan strategik kumpulan ke arah kontrak dengan profil risiko yang lebih seimbang di seluruh Asia Tenggara dan Australia, dengan tumpuan kepada aktiviti berorienstasikan perkhidmatan dan berisiko rendah.
“Selain itu, terdapat tahap aktiviti yang lebih rendah dalam segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) disebabkan oleh faktor bermusim, tetapi kesan sebahagiannya dikurangkan oleh prestasi yang lebih kukuh daripada segmen penggerudian, disokong oleh perolehan kadar kontrak yang lebih tinggi,” katanya.
Segmen E&C dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh penyiapan beberapa projek utama baru-baru ini dan peralihan strategik ke arah kontrak dengan profil risiko yang lebih seimbang.
Dalam pada itu, dengan nilai perolehan kontrak dalam tangan kira-kira RM2.3 bilion dan peluang mendapatkan tender yang kukuh kini dibuka, syarikat itu berkata segmen tersebut berada pada kedudukan yang baik untuk menyumbang secara stabil kepada pendapatan masa depan kumpulan.
“Kumpulan ini akan terus mengutamakan peluang dalam rantau Asia Tenggara dan Australia sambil mengekalkan pelaksanaan projek yang berdisiplin, mengoptimumkan kecekapan operasi, dan memperkukuh amalan pengurusan risiko bagi menyokong pertumbuhan segmen yang mampan.
“Keutamaan syarikat ialah untuk segera keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17) dengan mencapai keuntungan bagi dua suku berturut-turut, mengekalkan momentum operasi, dan memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan.
“Dalam hal ini, kumpulan ini telah mencapai keuntungan bagi suku keempat bagi tahun kewangan 2026 dan suku pertama bagi tahun kewangan 2027,” katanya.
-- BERNAMA