KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan IJM Land Bhd telah melancarkan THE LINQUE, pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang disepadukan bersama Stesen MRT Cochrane, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih kurang RM600 juta.
LINQUE merangkumi 586 unit pangsapuri servis yang disepadukan dengan tawaran runcit dan sambungan berbumbung ke Stesen MRT Cochrane.
Ia merupakan inisiatif TOD pertama MRT Corp di Lembah Klang.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke Siew Fook. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha MOT Datuk Seri Jana Santhian Muniayan, Pengerusi Bukan Eksekutif IJM Corporation Bhd Tan Sri Krishnan Tan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim dan CEO IJM Land Datuk Tony Ling Thou Lung.
Loke berkata TOD telah menjadi komponen penting dalam strategi pengangkutan awam di Malaysia, ia membantu mewujudkan komuniti bersepadu yang mana orang ramai boleh tinggal, bekerja, membeli-belah dan melancong dengan lebih selesa sambil mengurangkan pergantungan kepada kenderaan persendirian.
Beliau berkata kejayaan sesebuah TOD seharusnya melangkaui sempadan projek individu melalui ketersambungan pejalan kaki yang baik dan kerjasama antara pembangunan di sekitarnya.
“Saya berharap pemaju akan bekerjasama untuk mewujudkan rangkaian pejalan kaki yang bersambung yang melangkaui sempadan projek individu, menghubungkan stesen dengan bangunan sekitar, destinasi dan ruang awam,” katanya.
“Kerjasama sedemikian penting untuk mewujudkan persekitaran bandar yang benar-benar terhubung yang akan membolehkan orang ramai bergerak dengan mudah dan selamat tanpa perlu bergantung kepada kenderaan persendirian bagi perjalanan singkat,” kata Loke.
Mohd Zarif berkata projek itu mencerminkan komitmen MRT Corp untuk mencipta nilai jangka panjang di sekitar infrastruktur pengangkutan dan komuniti yang dilayaninya.
“TOD membenarkan MRT Corp membuka kunci potensi dengan menghimpunkan pengangkutan, kediaman, perniagaan, ruang awam dan kemudahan komuniti dengan cara yang menyokong perbandaran yang lebih mampan serta boleh didiami. Pembangunan Cochrane adalah contoh jelas pendekatan itu dalam tindakan kami,” katanya
Ling berkata, projek berkenaan mencerminkan komitmen IJM Land untuk mencipta pembangunan yang bertindak balas kepada gaya hidup yang berubah termasuk keperluan bandar masa hadapan, sambil memposisikan ketersambungan, kemudahan dan kualiti hidup di tengah-tengah pembangunan urbanisasi.
“Dengan pembangunan THE LINQUE, kedua-dua syarikat merancang untuk menyampaikan TOD yang menggabungkan kebolehcapaian, kemudahan dan gaya hidup dalam persekitaran bandar yang sangat bersambung yang dikaitkan secara terus dengan rangkaian MRT,” katanya lagi.
-- BERNAMA