AM

Fahmi Seru Perkukuh Kerjasama Media ASEAN Tangani Maklumat Palsu

19/06/2026 11:16 PM

BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Pengamal media di seluruh rantau ASEAN diseru memperkukuh kerjasama rentas sempadan bagi mempromosikan pelaporan yang tepat serta menangani peningkatan penyebaran maklumat palsu.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata memupuk kerjasama yang lebih erat, berkongsi pengetahuan serta bertukar amalan terbaik dalam kalangan komuniti media serantau amat penting untuk meningkatkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

“Media berfungsi sebagai nadi yang menghubungkan masyarakat dengan realiti semasa. Media bertindak sebagai jambatan antara pembuat dasar dan pelaksana serta antara acara dan persefahaman awam.

“Dengan aliran maklumat yang bergerak lebih pantas berbanding sebelum ini dan pelbagai naratif yang sentiasa bersaing untuk mendapatkan perhatian, kewartawanan yang berteraskan kebenaran, integriti dan tanggungjawab kekal amat diperlukan,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam kerajaan negeri bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zulkifli Long, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan pengurusan tertinggi organisasi media tempatan serta wakil Menteri-Menteri Komunikasi ASEAN.

Dalam ucapannya, Fahmi berkata sambutan HAWANA 2026 bukan sahaja bertujuan mengiktiraf peranan media sebagai rakan strategik pembangunan negara, malah platform mengukuhkan tekad untuk terus memartabatkan profesion kewartawanan pada era yang semakin mencabar.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kesudian menjadi tuan rumah sambutan HAWANA 2026 serta menganjurkan majlis pada malam ini.

“Komitmen dan dukungan yang diberikan mencerminkan penghormatan tinggi negeri ini terhadap peranan serta sumbangan besar warga media kepada masyarakat dan negara,” katanya. 

-- BERNAMA 


 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570645