KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Syarikat India melabur lebih US$3 bilion (US$1 = RM4.06) di Malaysia dan mewujudkan lebih 30,00 peluang pekerjaan secara langsung, sekali gus mencerminkan perkongsian ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan India, menurut Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM).
Pengerusi CIIM Datuk Umang Sharma berkata pelaburan itu telah menyumbang dengan ketara kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan menunjukkan peranan perniagaan India yang semakin meningkat di negara ini.
Sharma berkata pertumbuhan dalam aktiviti pelaburan dan perniagaan di Malaysia itu telah disokong oleh penglibatan aktif B.N. Reddy, yang baru-baru ini menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, TYT B.N. Reddy telah menjadi sumber galakan dan sokongan yang berterusan kepada komuniti perniagaan India di Malaysia dan kepada misi CIIM untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi serta komersial antara kedua-dua negara,” katanya dalam majlis makan malam perpisahan anjuran CIIM bagi menghargai jasa Reddy dan isterinya, Lalita Devi, di sini baru-baru ini.
Majlis itu dihadiri lebih 150 tetamu, termasuk pegawai kanan kerajaan, ahli kor diplomatik, presiden dewan dan persatuan perniagaan, ketua industri, wakil media dan ahli CIIM.
Sharma yang menyifatkan Reddy sebagai lebih daripada sekadar penaung CIIM berkata beliau juga seorang penasihat yang dipercayai, penyokong kuat, rakan yang mudah dihubungi dan seorang yang mempunyai kepercayaan yang teguh terhadap peranan perniagaan sebagai pemangkin bagi mengukuhkan hubungan dua hala.
Hubungan Reddy dengan Malaysia berlangsung selama hampir dua dekad, kerana sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dari 2008 hingga 2011.
Ketika menyandang jawatannya sebelum ini, beliau turut terlibat dengan salah satu peristiwa penting dalam hubungan ekonomi dua hala, iaitu Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA), yang meletakkan asas kepada kerjasama perdagangan dan pelaburan yang lebih mendalam antara kedua-dua negara.
Sharma turut memuji Reddy kerana membantu membina semula kepercayaan dan memulihkan keyakinan dalam hubungan Malaysia-India semasa tempoh mencabar menerusi kesabaran, kebijaksanaan, diplomasi senyap dan penglibatan tanpa henti.
Sepanjang tempoh perkhidmatan Reddy, Malaysia dan India meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif, sementara beberapa siri lawatan peringkat tertinggi mengukuhkan lagi kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi, budaya dan pertukaran antara rakyat.
Mengimbau kembali apa yang disifatkannya sebagai ‘diplomasi golf’ Reddy, Sharma berkata Pesuruhjaya Tinggi itu telah berjaya menggunakan sukan tersebut sebagai platform untuk membina hubungan dalam kalangan diplomat, pemimpin perniagaan dan pegawai kanan kerajaan.
“Banyak perbualan bermakna tidak selalunya berlaku di meja persidangan. Ia juga boleh berlaku di padang golf, apabila persahabatan berjaya dibina, kepercayaan berjaya diwujudkan dan perkongsian diperkukuhkan,” katanya.
Dalam majlis yang sama, CIIM turut memberi penghormatan kepada Lalita Devi di atas sumbangannya dalam memupuk persahabatan dan muhibah sepanjang beliau berada di Malaysia.
-- BERNAMA