DUNIA

Persefahaman Dimuktamad Secara Rasmi Selepas Presiden Tandatangan Teks Perjanjian

18/06/2026 08:43 AM

ISTANBUL, 18 Jun (Bernama-Anadolu) -- Iran pada awal Khamis memaklumkan bahawa memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara dengan Amerika Syarikat (AS) yang bertujuan menamatkan peperangan telah dimuktamadkan secara rasmi selepas presiden kedua-dua negara menandatangani teks perjanjian itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmail Baghaei berkata “Memorandum Islamabad” itu kini akan berkuat kuasa sepenuhnya selepas ditandatangani oleh Tehran dan Washington, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan disiarkan Mehr News Agency.

Baghaei berkata perjanjian itu akan ditandatangani secara digital dan mengesahkan bahawa rundingan di bawah memorandum berkenaan akan tertumpu secara eksklusif kepada isu nuklear serta pelonggaran sekatan.

Beliau berkata kedua-dua pihak akan mengadakan rundingan sehingga 60 hari, dengan kemungkinan tempoh itu dilanjutkan sekiranya perlu berikutan kerumitan isu yang dibincangkan.

Jurucakap itu turut berkata komitmen AS berhubung penamatan sekatan laut terhadap Iran secara berkesan telah mula dilaksanakan susulan rundingan selepas serangan Israel ke atas pinggir selatan Beirut dan ancaman tindak balas oleh Iran.

Baghaei berkata perancangan untuk pasukan perunding berada di Geneva masih diteruskan, namun pemeteraian MoU akan dilakukan secara digital dan tiada majlis menandatangani perjanjian akan diadakan di Switzerland, menurut laporan Mehr News.

Beliau menambah bahawa sekiranya serangan Israel terhadap Lubnan berterusan, ia akan dianggap sebagai pelanggaran komitmen AS di bawah MoU berkenaan.

Menurutnya lagi, kapal-kapal Iran telah pun keluar masuk pelabuhan “tanpa sebarang masalah”, yang disifatkannya sebagai petanda bahawa komitmen AS mula menunjukkan kesan.

Baghaei berkata komitmen Iran berkaitan Selat Hormuz akan bermula selepas memorandum itu ditandatangani dan dilaksanakan.

Sementara itu, seorang pegawai AS turut mengesahkan kepada Anadolu bahawa MoU berkenaan telah ditandatangani pada Rabu.

Presiden AS Donald Trump memberitahu wartawan di Perancis bahawa beliau menandatangani MoU itu di Istana Versailles ketika menghadiri majlis makan malam bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Menurut portal berita AS, Axios, foto perjanjian yang telah ditandatangani itu dihantar kepada pihak Iran dan negara-negara pengantara.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2569734