JENAYAH & MAHKAMAH

Tukang Kebun Didakwa Bunuh Kontraktor Di Kampung Gajah

18/06/2026 07:32 PM

BATU GAJAH, 18 Jun (Bernama) -- Seorang tukang kebun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kontraktor di Kampung Gajah, minggu lepas. 

Mohammad Farizzal Fazly Mohd Zulkifly, 30, mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan yang kemudian menetapkan 20 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Muhammad Fahmi Abdullah, 29, di tepi jalan utama, Jalan Trans Perak dalam daerah Perak Tengah antara 4.30 pagi hingga 5.49 pagi pada 10 Jun lepas. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Jagdeep Singh Jaswant Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Pada 10 Jun lepas, media melaporkan tertuduh menikam mangsa hingga maut menggunakan sebilah pisau dipercayai kerana cemburu. 

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di Ipoh, Mohammad Farizzal Fazly dijatuhi hukuman penjara empat tahun dengan tiga sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba merogol seorang wanita berusia 25 tahun, Rabu lepas.

Hakim Jean Sharmila Jesudason turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pemerhatian polis selama tiga tahun selepas tamat tempoh pemenjaraan serta menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh dipenjara.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut dalam sebuah kereta di kebun kelapa sawit di kawasan Seberang Perak, Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah, kira-kira 5 pagi, 10 Jun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Seksyen 376 (1) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, manakala Seksyen 511 pula boleh dihukum seperti Seksyen 376, namun tempoh pemenjaraan tidak melebihi separuh tempoh maksimum yang ditetapkan.

Terdahulu, Mohammad Farizzal Fazly yang tidak diwakili peguam merayu hukuman paling ringan serta jumlah sebatan minimum dengan alasan beliau yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah berpendapatan hanya RM1,500 sebulan selain bapanya melakukan kerja kampung dan ibunya tidak bekerja.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana perbuatan lelaki itu satu kesalahan serius, selain memberi kesan mendalam kepada mangsa dari segi emosi, psikologi dan trauma.

Beliau turut memohon supaya hukuman yang dikenakan berunsur pencegahan selain tertuduh dikenakan pemerhatian polis selama tiga tahun selepas selesai tempoh hukuman dan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang dipenjara.

Mengikut fakta kes, tertuduh berjumpa dengan mangsa di lokasi berkenaan untuk berbincang dan memujuk supaya mereka berbaik semula. 

Semasa berada dalam kereta, tertuduh menunjukkan sebilah pisau dan mengajak wanita itu melakukan hubungan seks tetapi mangsa menolak. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2569830