AM

Penglihatan Kabur Tidak Gugat Semangat Peroleh Keputusan Cemerlang STPM 2025 

18/06/2026 05:16 PM

KOTA BHARU, 18 Jun (Bernama) -- Masalah penglihatan kabur yang dihidapi seorang calon berkeperluan khas (CBK) kategori rabun ternyata tidak menggugat semangatnya untuk memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.92 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

Bariyyatul Busyra Ruziham, 20, yang menghidap Retinitis Pigmentosa (RP), sejenis penyakit yang menyebabkan kerosakan saraf mata, berkata penglihatannya mudah menjadi kabur dan penat menyebabkannya perlu menggunakan pencahayaan tambahan ketika belajar. 

“Kalau belajar terlalu lama, mata menjadi mudah penat dan layu, jadi saya lebih gemar belajar pada pukul 3 pagi kerana suasananya sunyi dan membantu saya lebih fokus.

“Saya juga menggunakan tulisan bersaiz lebih besar ketika membaca bahan pembelajaran dan kadangkala meminta bantuan rakan untuk membacakan nota atau tulisan guru pada papan putih apabila penglihatan semakin kabur,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian 2, di sini hari ini.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata cabaran paling besar ialah apabila mata menjadi merah atau radang akibat terlalu lama menghadap komputer riba sehingga memerlukan rawatan serta penggunaan ubat titis mata yang dibekalkan doktor.

“Saya pernah mengalami radang mata kerana terlalu lama menghadap komputer riba dan keadaan itu menyebabkan saya sukar untuk belajar,” katanya yang bercita-cita menjadi ahli perniagaan dan berhasrat melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, ibunya Engku Radziah Engku Ahmad, 54, bersyukur dengan pencapaian anaknya yang menunjukkan kesungguhan tinggi dalam pelajaran meskipun berdepan kekangan penglihatan.

Guru di sebuah sekolah kebangsaan itu berkata walaupun mempunyai kekangan penglihatan, anaknya tetap berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperoleh keputusan membanggakan dan menjadi antara calon berkeperluan khas terbaik negeri ini.

Beliau berkata penyakit anaknya itu mula dikesan ketika berusia kira-kira lima tahun selepas dia menyedari perubahan pada cara anaknya mencari dan mengambil barang yang terjatuh serta sering meraba-raba untuk mengambil sesuatu objek.

Hasil pemeriksaan lanjut di beberapa hospital mengesahkan Bariyyatul Busyra menghidap RP dan penyakit ini turut dihidapi dua lagi anak perempuannya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570000