Daripada Nurul Hanis Izmir
KAZAN (Rusia), 18 Jun (Bernama) -- Rusia dan ASEAN membina perkongsian strategik yang kukuh sepanjang 35 tahun lalu, yang kini berperanan sebagai faktor penstabil penting di rantau Asia-Pasifik dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu, kata Presiden Rusia Vladimir Putin.
Beliau berkata kedua-dua pihak telah mewujudkan rangka kerja perundangan dan perjanjian yang kukuh serta rangkaian mekanisme bersama yang meluas, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk keselamatan, perdagangan dan pelaburan, tenaga, pertanian, pendigitalan, sains dan teknologi, pelancongan serta pertukaran kemanusiaan.
“Hasil kerjasama kita jelas dapat dilihat,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung di sini sempena ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Rusia.
Rusia secara rasmi menjalin hubungan dengan ASEAN pada 1991 di Kuala Lumpur.
Pada 1996, negara itu menjadi Rakan Dialog Penuh ASEAN dan hubungan berkenaan dipertingkat kepada Perkongsian Strategik pada 2018, mencerminkan komitmen berterusan untuk memperluas kerjasama dalam bidang politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.
Putin menegaskan bahawa hubungan antara Rusia dan ASEAN berasaskan norma undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat serta kepentingan bersama.
“Prinsip-prinsip ini menjadi asas hubungan Rusia dengan ASEAN.
“Ia dicirikan oleh perkongsian strategik yang, dalam keadaan geopolitik semasa yang bergolak, berfungsi sebagai faktor penstabil penting di rantau Asia-Pasifik serta menyumbang kepada pembangunan seni bina keselamatan yang seimbang dan kerjasama sama rata yang saling menguntungkan,” katanya.
Putin berkata sidang kemuncak peringatan itu akan memberi tumpuan kepada pertukaran pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa semasa, menilai hasil kerjasama ASEAN-Rusia sepanjang 35 tahun lalu serta membincangkan hala tuju, matlamat dan objektif masa depan perkongsian strategik berkenaan.
Sidang kemuncak itu berlangsung ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, dengan kedua-dua pihak berusaha memperluas kerjasama dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, keselamatan makanan dan tenaga, transformasi digital, pendidikan, sains dan teknologi serta pertukaran antara rakyat.
Rusia melihat ASEAN sebagai rakan penting dalam usaha memperkukuh penglibatannya di rantau Asia-Pasifik, manakala ASEAN menganggap Rusia sebagai rakan dialog utama yang mempunyai kekuatan dalam sektor tenaga, teknologi, pertanian dan pendidikan tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Filipina yang juga Pengerusi ASEAN semasa Ferdinand Marcos Jr. serta pemimpin ASEAN lain menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan yang berlangsung selama dua hari itu.
-- BERNAMA