JOHOR BAHRU, 18 Jun (Bernama) -- UMNO Sabah akan menggerakkan jenteranya bagi membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, khususnya di kawasan yang mempunyai ramai pengundi dari Negeri Di Bawah Bayu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata pihaknya ditugaskan membantu kempen di kawasan Parlimen Pasir Gudang, terutama melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas serta Johor Jaya.
Beliau berkata berdasarkan rekod semasa, kira-kira 3,000 pengundi berasal dari Sabah menetap dan berdaftar sebagai pemilih di Permas manakala 2,000 lagi di Johor Jaya
“Empat tahun lepas, kita juga bertugas di kawasan ini. Jadi Pasir Gudang merupakan kawasan yang tidak asing bagi UMNO Sabah,” katanya ketika ditemui Bernama selepas melawat Zoo Johor di sini hari ini.
Beliau berkata pengalaman membantu kempen pada PRN Johor 2022 akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan calon BN di kawasan mempunyai jumlah pengundi Sabah yang signifikan.
Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah memaklumkan jentera UMNO Sabah kini mula bergerak pada skala kecil bagi tujuan persediaan awal.
Beliau berkata gerak kerja tersebut akan dilaksanakan lebih menyeluruh selepas hari penamaan calon bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan dengan berkesan kepada pengundi sepanjang tempoh berkempen.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun ini, manakala hari pengundian pada 11 Julai.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan sebelum pembubaran DUN pada 1 Jun lepas, BN menguasai 40 kerusi diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga) manakala MUDA (satu).
-- BERNAMA