EKONOMI

SRKK AI Sasar Kumpul RM20.48 Juta Melalui IPO Untuk Inisiatif Pertumbuhan Strategik Dalam AI

18/06/2026 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- SRKK AI Bhd berhasrat untuk mengumpul sebanyak RM20.48 juta daripada Tawaran Awam Permulaannya (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd untuk inisiatif pertumbuhan strategik dalam Kepintaran Buatan (AI).

Langkah IPO syarikat itu melibatkan terbitan awam sebanyak 64.00 juta saham biasa baharu dan tawaran penjualan sehingga 13.00 juta saham pada harga 32 sen sesaham.

Permohonan untuk IPO tersebut akan ditutup pada 25 Jun dan penyenaraian dijadualkan menjelang 9 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SRKK AI Yew Lip Sin berkata daripada RM20.48 juta hasil yang diperoleh, RM4.0 juta diperuntukkan untuk inisiatif pertumbuhan strategik dalam AI.

"Inisiatif pertumbuhan SRKK AI termasuk persediaan makmal AI dan akademi AI serta pembangunan analisis data dan penyelesaian perisian yang didayakan AI.

"Sebanyak RM1.84 juta lagi diperuntukkan untuk pengembangan geografi ke Indonesia; dan RM3.70 juta bagi membina Pusat Operasi Keselamatan dalaman,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Sejumlah RM1.80 juta pula disediakan untuk aktiviti penjenamaan, pemasaran dan promosi, RM4.64 juta lagi sebagai modal kerja dan RM4.50 juta untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

IPO SRKK AI telah didorong oleh peningkatan penggunaan penyelesaian yang didayakan AI oleh perusahaan, dan potensi pasaran AI yang besar dengan pelaburan US$2.2 bilion (US$1=RM4.07) oleh Microsoft ke dalam infrastruktur awan serta AI di Malaysia.

“Penyelesaian yang didayakan AI membentuk 11 peratus atau RM11.8 juta daripada hasil SRKK AI bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025. 

“Kami telah berjaya membenamkan AI ke dalam penyelesaian pelanggan kami dan telah melihat peningkatan penggunaan dalam penyelesaian yang didayakan AI sejak 2022,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570115