AM

Wan Junaidi Ucap Takziah Kepada Nancy Shukri Atas Pemergian Suami 

18/06/2026 09:03 PM

KUCHING, 18 Jun (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar merakamkan ucapan takziah kepada Datuk Seri Nancy Shukri atas pemergian suami beliau, Datuk Kamil Misuari hari ini.

Astana Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menerima segala amal kebajikannya serta menempatkan beliau dalam kalangan orang beriman.

“Tun dan Toh Puan turut mendoakan agar Datuk Seri Nancy serta seluruh keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi saat penuh kesedihan ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi satu kenyataan memaklumkan Kamil meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur, petang tadi.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Kuching esok dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang.

Allahyarham yang berusia 65 tahun berkahwin dengan Nancy pada 1985 dan dikurniakan tiga anak.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570156