GEORGE TOWN, 18 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meluluskan pembiayaan berjumlah RM5 bilion setakat 31 Mei lepas, memanfaatkan 185,000 usahawan di seluruh negara, kata Menterinya Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM540 juta pembiayaan disalurkan kepada usahawan di Pulau Pinang yang melibatkan 4,400 syarikat.
“Bagi tahun ini, menerusi program PowerUp10K, KUSKOP menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan berjumlah RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di majlis Forum Ekonomi Pulau Pinang 2026 di sini hari ini.
Sim berkata inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan membantu PMKS bukan sekadar untuk terus bertahan, malah berkembang dan merebut peluang yang muncul daripada perkembangan geopolitik serta geoekonomi semasa.
Dalam pada itu, beliau berkata Pulau Pinang perlu melakukan transformasi menerusi inisiatif Pulau Pinang 3.0 untuk memastikan kelangsungan dan pertumbuhan ekonominya bagi tempoh 50 tahun akan datang.
Beliau berkata Pulau Pinang mempunyai asas ekonomi yang kukuh, bermula sebagai pelabuhan bebas sebelum berkembang menjadi Zon Perdagangan Bebas dan kini menuju ke arah pembangunan sektor kewangan antarabangsa.
Bagaimanapun katanya, evolusi berterusan diperlukan berikutan persaingan global yang semakin sengit, dasar perlindungan melampau khususnya oleh negara-negara barat serta perubahan landskap teknologi yang pantas.
“Kita perlu beralih daripada model ‘Made in Penang’ (Dibuat di Pulau Pinang) yang bergantung kepada kos dan harga rendah kepada ‘Made by Penang’ (Dibuat oleh Pulau Pinang), iaitu model perniagaan bernilai lebih tinggi.
“Transformasi ini perlu memberi tumpuan kepada bakat, teknologi, produk dan perkhidmatan, selain membangunkan cap dagangan, paten serta jenama tempatan,” katanya.
Sim turut mencadangkan supaya forum ekonomi itu dianjurkan setiap tahun pada skala lebih besar sebagai platform untuk masyarakat, pelabur dan pemegang taruh serantau berinteraksi dengan Pulau Pinang, yang merupakan antara enjin pertumbuhan ekonomi utama negara.
-- BERNAMA