PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Kebanyakannya Rendah

18/06/2026 10:00 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) --  Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kebanyakannya rendah pada Khamis selepas ditekan oleh kelemahan dalam harga minyak kacang soya dan minyak mentah, menurut seorang peniaga.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng, bagaimanapun berkata kekuatan permintaan eksport baru-baru ini terus menyokong sentimen pasaran dalam tempoh terdekat.

“Kami melihat harga kekal disokong melebihi paras RM4,500 setan, dengan rintangan pada RM4,650 setan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM mengurangkan kerugian awal pada separuh kedua sesi dagangan berikutan kejatuhan ringgit, yang seterusnya meningkatkan daya saing eksport minyak sawit Malaysia.

Beliau berkata walaupun pemulihan agak lewat, niaga hadapan minyak boleh dimakan yang berkaitan di Bursa Komoditi Dalian (DCE) China dan kontrak minyak sayuran di Bursa Komoditi Zhengzhou (ZCE) ditutup lebih rendah, ini telah mengehadkan kenaikan harga minyak sawit.

Pada penutup, kontrak Julai 2026 meningkat RM9 kepada RM4,510 satu tan dan kontrak Ogos 2026 naik RM5 kepada RM4,544 satu tan

Bagaimanapun, kontrak September 2026 susut RM1 kepada RM4,573, manakala Oktober 2026 merosot RM4 kepada RM4,603, November 2026 turun RM8 kepada RM4,628 dan Disember 2026 melemah RM2 kepada RM4,658 satu tan.

Jumlah dagangan bertambah kepada 91,261 lot berbanding 89,705 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 286,986 kontrak daripada 289,934 sebelumnya.

Sementara itu, harga MSM fizikal bagi Jun Selatan menokok RM10 pada RM4,510 setan.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti umum Awal Muharram.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570191