EKONOMI

ASEAN, SCO Perlu Gembleng Sumber Tangani Jenayah Rentas Sempadan, Kerjasama Tenaga -- PM Anwar

18/06/2026 10:09 PM

Daripada Nurul Hanis Izmir

KAZAN, 18 Jun (Bernama) — ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) perlu bekerjasama menggembleng sumber masing-masing bagi menangani jenayah rentas sempadan selain memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini penting memandangkan kedua-dua aspek itu memerlukan tindakan secara kolektif bagi memastikannya dapat ditangani secara berkesan.

Anwar berkata usaha itu mampu dilaksanakan berikutan blok yang dianggotai 11 negara dan SCO memiliki asas kerjasama kukuh menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada 2005 yang merangkumi pelbagai bidang termasuk memerangi keganasan, kawalan dadah dan narkotik, pencegahan pengubahan wang haram serta kerjasama ekonomi dan kewangan, terutama tenaga hidroelektrik dan bahan api bio.

“Kita perlu mengusahakannya dengan menumpukan perhatian dan sumber ke atas beberapa bidang yang dapat diukur kemajuannya dalam tempoh masa ditetapkan.

“Jenayah penipuan atau scam dalam talian, aktiviti kewangan haram dan pemerdagangan manusia sering kali melintasi sempadan kita yang lebih pantas daripada keupayaan bertindak secara berkesan. Kita akan dapat meraih manfaat besar menerusi perkongsian risikan dan usaha memperkukuh kapasiti masing-masing untuk memberi tindak balas,” kata beliau pada sesi makan tengah hari ASEAN-Rusia di sini, hari ini.

SCO yang ditubuhkan pada 2001 merupakan sebuah organisasi politik, ekonomi dan keselamatan dan kini dianggotai Belarus, China, India, Iran, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Pakistan, Rusia, Tajikistan dan Uzbekistan, selain dua negara pemerhati iaitu Afghanistan dan Mongolia.

Menyentuh tenaga, Anwar yang juga Menteri Kewangan juga menyifatkan SCO turut membawa bersama pengeluar utama dan kepakaran sebenar dalam teknologi tenaga.

“Ini membuka jalan bagi  kerjasama lebih praktikal dalam keterjaminan tenaga dan peralihan kepada sumber tenaga lebih bersih. Malaysia juga menggalakkan kerjasama tenaga yang praktikal serta dipacu teknologi.

“Ini merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kebolehpercayaan grid, gas asli cecair (LNG) dan gas, integrasi boleh baharu serta perkongsian pengetahuan dalam keselamatan dan daya tahan,” kata beliau.

Anwar berkata perkara sama boleh dilaksanakan dalam kerjasama membabitkan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) yang mana ASEAN dan kesatuan itu mempunyai rangka kerja yang sewajarnya.

“Kita harus memanfaatkannya sekarang untuk mengukuhkan keyakinan perniagaan serta kerjasama komersial,” kata beliau.

Sehubungan itu, Anwar berkata perkara pertama yang perlu dilaksanakan adalah keperluan kalangan sektor swasta mengadakan pertemuan secara kerap.

“Mereka perlu digalakkan untuk mengambil bahagian dalam acara perdagangan dan pelaburan masing-masing, termasuk Dialog Perniagaan ASEAN-EAEU di luar Forum Ekonomi Timur dan Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg.

“Perkara kedua adalah bagi firma-firma lebih kecil atau perusahaan kecil dan sederhana kita memerlukan sokongan untuk saling bersaing di kedua-dua rantau. Ini bermakna akses pasaran, teknologi diperlukan serta kemahiran untuk memanfaatkannya,” kata beliau.

Selain itu, terdapat bidang baharu dengan minat ASEAN dan EAEU yang ketara seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan keterjaminan makanan yang dapat dilaksanakan secara bersama, kata Anwar.

Perdana Menteri berada di Kazan, ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Rusia untuk lawatan kerja dua hari bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berakhir hari ini.

— BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570192