BUTTERWORTH, 19 Jun (Bernama) -- Pulau Pinang bakal menjadi tumpuan warga media esok bersempena dengan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan juga luar negara.
Majlis kemuncak bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” itu yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bagi meraikan peranan kewartawan sebagai teras penyampaian maklumat yang berintegriti dan berwibawa.
Antara yang dijadualkan hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Turut dijangka hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta barisan pengurusan tertinggi syarikat media tempatan.
Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 berkata HAWANA bukan sekadar platform menghargai wartawan tetapi medan untuk mengukuhkan jaringan profesional, mengeratkan silaturahim serta mendekatkan masyarakat dengan media.
“Alhamdulillah, kali ini kita juga mendapat sokongan daripada rakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi iaitu MyCreative Venture yang turut mengadakan program Karnival RIUH Pi HAWANA, jadi sebenarnya ini semua untuk masyarakat datang dan mengenali kita (pengamal media).
“Jadi ini untuk para wartawan menggunakan platform ini untuk saling berhubung serta mengeratkan silaturahim,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.
Nur-ul Afida turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan penganjuran sambutan tahun ini.
Majlis kemuncak HAWANA 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV, dengan disambung siar oleh RTM dan TV AlHijrah serta platform media sosial tempatan, sekali gus memperluas capaian siaran kepada khalayak di seluruh negara.
Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri dijangka menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada veteran yang memerlukan, serta menyampaikan hadiah kepada pemenang Pesta Pantun HAWANA-DBP yang diadakan pada 9 Mei lepas.
Selain itu, Anugerah HAWANA dan Anugerah Khas HAWANA akan turut disampaikan kepada tokoh yang memberi sumbangan besar kepada dunia kewartawanan dan pembangunan pemikiran masyarakat.
Sempena majlis kemuncak itu, beberapa program sampingan turut diadakan termasuk Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib di sebuah hotel, di sini, malam ini.
Turut berlangsung ialah Karnival RIUH Pi HAWANA yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini di tapak parkir Pusat Konvensyen PICCA, yang bakal menampilkan persembahan artis tempatan seperti Exists, Bunkface, Masdo, Sakura Band, Budak Nakal Hujung Simpang dan Chelsea Ng.
Karnival itu menghimpunkan lebih 24 jenama produk kreatif tempatan dan 20 vendor makanan serta minuman, selain menawarkan pelbagai bengkel interaktif kepada pengunjung.
Sebelum ini, pelbagai program telah dianjurkan sempena HAWANA 2026 termasuk Forum Media HAWANA 2026 pada 7 Mei, Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2026 pada 4 Jun serta Fun Walk HAWANA 2026 pada 14 Jun yang berjaya menarik penyertaan menggalakkan daripada pengamal media dan orang ramai.
HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan pengamal media kepada pembangunan negara.
Dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama selaku agensi pelaksana, HAWANA menjadi platform utama untuk menghargai dedikasi, profesionalisme dan peranan pengamal media sebagai penyampai maklumat yang tepat, sahih dan berwibawa kepada masyarakat.
-- BERNAMA