Oleh Siti Azila Alias
BATU KAWAN, 18 Jun (Bernama) -- Pernah ditendang dan diludah tertuduh ketika menjalankan tugas antara pengalaman yang masih terpahat dalam ingatan bekas jurufoto dan jurukamera veteran Azmi Sapiei sepanjang lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia media.
Bekas jurufoto Bernama dan jurukamera sambilan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pulau Pinang itu berkata pengalaman mencemaskan berkenaan berlaku ketika membuat liputan kes mahkamah sekitar 2001 semasa bertugas dengan The Sun, selepas meninggalkan Bernama pada penghujung 1996 dan kembali ke kampung halamannya di negeri ini.
Sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat di Bernama, Azmi, 64, turut berpeluang membuat liputan pelbagai peristiwa penting negara, termasuk merakam gambar eksklusif kepulangan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) Shamsiah Fakeh dari China pada Julai 1994.
Beliau berkata ketika itu Shamsiah pulang ke kediaman anak saudaranya di Gombak, Selangor, dan hanya beliau bersama seorang wartawan sempat memasuki kawasan berkenaan kerana tiba lebih awal sebelum lokasi itu ditutup kepada media.
“Pada zaman itu, semua menggunakan kamera filem. Sama ada gambar menjadi atau tidak, itu perkara kemudian. Saya ambil sebanyak mungkin gambar. Apabila pulang ke pejabat, bos bertanya berapa gulung filem yang saya gunakan dan saya jawab tiga gulung.
“Kemudian bos kata, tiga saja? Satu demi satu gulung filem dimasukkan ke dalam tong sampah. Ketika itu memang rasa malu dimarahi, namun selepas gambar diproses, keesokannya semua akhbar utama menggunakan gambar berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini baru-baru ini.
Azmi berkata pengalaman itu banyak mematangkan dirinya dan menyifatkan Bernama sebagai ‘sekolah’ yang melahirkan ramai jurufoto berkualiti serta membentuk disiplin dalam menghasilkan gambar yang bukan sahaja tepat, malah mempunyai nilai berita.
Katanya profesion yang diceburi sejak pertengahan 1980-an itu bukan sekadar memastikan gambar dan visual berita berjaya dirakam, malah menuntut ketahanan fizikal dan mental untuk berdepan pelbagai cabaran di lapangan.
Mengimbau permulaan kerjayanya, beliau berkata beliau pernah bekerja di sebuah kilang sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mengejar minat dalam bidang fotografi, seterusnya bekerja secara bebas dengan beberapa agensi serta majalah wanita.
Minat terhadap dunia kewartawanan kemudian membawanya menyertai Bernama pada 1993 sebagai jurugambar sebelum meneruskan kerjaya di The Sun, Bernama TV dan akhirnya RTM Pulau Pinang sebagai jurukamera sambilan dari 2003 hingga bersara pada pertengahan 2020.
Bapa kepada tiga anak lelaki itu berkata tugas jurufoto pada era analog amat mencabar kerana semua gambar dirakam menggunakan kamera filem dan hanya dapat dilihat selepas diproses.
Katanya kapsyen foto juga perlu ditaip sendiri menggunakan mesin taip sebelum disemak editor dan diedarkan kepada pelanggan Bernama.
“Meskipun asas tugas jurufoto dan jurukamera hampir sama, kerja sebagai jurukamera televisyen memerlukan ketahanan fizikal yang lebih tinggi kerana perlu membawa peralatan berat ketika membuat liputan.
“Saya pernah melalui era penggunaan kamera Beta (Betacam) ketika bertugas sebagai jurukamera sambilan Bernama TV. Kamera itu digelar ‘besi buruk’ kerana beratnya kira-kira 12 kilogram. Bayangkan perlu memikul beban seberat itu di bahu ketika bertugas,” katanya.
Azmi, yang pernah menerima Anugerah Media Negeri Pulau Pinang 2006 bagi kategori Media Elektronik Visual, berkata beliau berbangga apabila legasinya diteruskan oleh anak kedua, Muhammad Syafiq, 30, yang kini bertugas dengan Rangkaian Televisyen Media Prima.
Sementara itu, Muhammad Syafiq berkata minat terhadap dunia kamera mula berputik sejak kecil apabila melihat bapanya membawa pulang peralatan berkenaan ke rumah.
Beliau berkata selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016, beliau mula mengikuti bapanya ke lokasi tugasan sebelum mengendalikan kamera sendiri setahun kemudian.
“Beliau bukan sahaja ayah, malah guru dan mentor yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya, termasuk teknik penggambaran, pemilihan sudut visual serta disiplin kerja ketika bertugas,” katanya.
-- BERNAMA