JOHOR BAHRU, 19 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas di Johor dan Negeri Sembilan mencukupi menjelang pilihan raya negeri (PRN), meskipun berdepan isu peningkatan kos logistik global.
Timbalan Menteri KPDN Datuk Dr Fuziah Salleh berkata langkah proaktif telah diambil bagi memastikan rantaian bekalan tidak terganggu, susulan jangkaan peningkatan permintaan daripada petugas dan orang luar yang akan berada di kedua-dua negeri tersebut.
Sebagai strategi kesiapsiagaan, beliau berkata kementeriannya memperkenalkan sistem pengedaran baharu bagi minyak masak peket subsidi, yang dihantar terus daripada pihak pembungkus (repacker) ke premis jualan (point of sale - POS) tanpa melalui pemborong.
"Di Johor, kuota minyak masak adalah konsisten melebihi 3,000 metrik tan sebulan yang diuruskan oleh 18 repacker untuk diagihkan ke 95 POS termasuk pasar raya Econsave bagi mengelakkan gangguan bekalan.
"Tinjauan di Econsave Taman Daya hari ini menunjukkan bekalan stabil dengan kapasiti sekitar 100 karton sehari bagi menampung permintaan harian," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di pasar raya tersebut, di sini, hari ini.
Fuziah berkata langkah kawalan ketat di kaunter pembayaran seperti keperluan imbasan aplikasi atau pengesahan kad pengenalan (MyKad) dilaksanakan bagi memastikan barangan subsidi tersebut hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia sekali gus mengelakkan ketirisan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejak 1 Jan hingga 13 Jun 2026, sebanyak 13,692 siri PJRM dilaksanakan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 920 PJRM dilaksanakan di Johor meliputi 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memberi manfaat kepada 2.3 juta pengunjung dan merekodkan sejumlah 1,468,034 transaksi.
“Pencapaian signifikan ini membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.
PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai, dengan undi awal dilaksana pada 7 Julai manakala 27 Jun ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon.
-- BERNAMA