EKONOMI

Malaysia Terajui Industri Semikonduktor Asia Tenggara, Pacu Kerjasama Global -- Sim

19/06/2026 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Malaysia mempunyai ekosistem semikonduktor paling kukuh di Asia Tenggara, sekali gus menjadikannya sebagai destinasi utama bagi kerjasama dalam kalangan pemain teknologi utama.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata penggiat utama itu adalah dari Jepun, Korea Selatan, China, Taiwan dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata ekosistem Malaysia itu merangkumi keseluruhan rantaian nilai semikonduktor, termasuk pembekal hiliran, vendor, pembekal bahan, pengeluar mesin serta keupayaan pemasangan dan pengujian maju serta peralatan (ATE).

“Ini adalah satu ekosistem lengkap yang hanya wujud di Asia Tenggara (dan) hanya di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama antara Oppstar Bhd dan Tokyo Artisan Intelligence Co Ltd di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Sim berkata Malaysia telah menguasai bidang pemasangan, pengujian dan pembungkusan dengan menguasai kira-kira 13 peratus bahagian pasaran global bagi pengujian dan pembungkusan cip.

Beliau menyifatkan kemampuan itu sebagai pencapaian besar yang telah mewujudkan berjuta-juta pekerjaan, dapat menstabilkan ekonomi serta memperoleh kepercayaan syarikat multinasional terbesar dunia.

Pada masa sama, beliau mengingatkan sejajar pergerakan pantas landskap teknologi global ke arah ekonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI) juga menjadikan kerajaan tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan semasa.

“Atas alasan inilah, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) menuntut agar kita secara agresif berganjak ke kedudukan atas rantaian nilai dalam reka bentuk litar bersepadu di semua peringkat reka bentuk litar bersepadu.

“Matlamat kita tidak hanya melaksanakan pelan pembuatan negara lain, (tetapi) untuk mencipta, memiliki dan membangunkan harta intelek (IP) yang menjadi asas kepada teknologi global generasi baharu,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan, Oppstar yang juga penyedia perkhidmatan reka bentuk IC di Malaysia, telah menandatangani rangka kerja kerjasama strategik dengan Tokyo Artisan Intelligence, sekali gus mewujudkan rangka kerja kerjasama industri Jepun–Malaysia yang padu.

Kerjasama itu menghimpunkan keupayaan pelaksanaan AI berteknologi tinggi dan keperluan pasaran sebenar dari Jepun serta bakat reka bentuk semikonduktor Malaysia yang kukuh dan kepakaran kejuruteraan reka bentuk IC/sistem pada cip.

Pihak terbabit akan meneroka pembangunan bersama dan pengkomersialan cip semikonduktor AI berkecekapan tinggi dan rendah kuasa yang dioptimumkan untuk pengkomputeran dan aplikasi rangkaian akses radio (RAN) serta infrastruktur yang menjimatkan tenaga. 

“Fasa awal akan menumpukan usaha penyesuaian visi AI berkecekapan perkakasan serta algoritma pembelajaran mendalam oleh Tokyo Artisan Intelligence ke dalam reka bentuk silikon sesuai yang boleh diatur semula dan dibangunkan oleh Oppstar dengan sasaran penggunaan merentasi industri global seperti kereta api, pembuatan pintar dan logistik,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570379