PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan pindaan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi memperluas kuasa siasatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) dalam menangani konflik kepentingan dan penyalahgunaan dana pengurusan di kawasan berstrata.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan syor itu merupakan antara enam cadangan penambahbaikan yang dikemukakan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memperkukuh tadbir urus pengurusan kewangan dan perolehan di kawasan berstrata.
"Antara cadangan penambahbaikan utama yang disyorkan adalah pindaan Akta 757 bagi memperluas kuasa siasatan COB terhadap konflik kepentingan dan penyalahgunaan dana, penguatkuasaan melalui pengkompaunan kesalahan untuk mempercepat tindakan dan meningkatkan pematuhan, mewartakan garis panduan kewangan serta perolehan sebagai kewajipan undang-undang dan prosedur yang jelas," menurut kenyataan itu.
SPRM memaklumkan cadangan tersebut disampaikan Timbalan Pengarah II BPT SPRM Ahmad Shukri Mohd Taib kepada JPN pada 16 Jun lepas menerusi kajian berkaitan cabaran yang dihadapi COB dalam mengawal selia pengurusan kewangan dan perolehan di kawasan berstrata.
Bagi memperkukuh ketelusan, SPRM mencadangkan pembangunan sistem e-Pelaporan berasaskan model Building Maintenance and Strata Management Act (BMSMA) 2004 di Singapura yang membolehkan pelaporan berkala dilaksanakan secara lebih telus serta mengurangkan risiko manipulasi dokumen.
"Turut dicadangkan ialah penstrukturan semula perjawatan melalui penambahan pegawai dan penetapan nisbah optimum bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan, selain memperkasa kompetensi pegawai menerusi latihan berterusan dalam bidang kewangan, audit, perolehan dan penguatkuasaan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, JPN menyambut baik semua syor yang dikemukakan dan yakin pelaksanaannya mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti serta memantapkan amalan pengurusan organisasi ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih berintegriti, cekap dan berkesan.
-- BERNAMA